Monday 17 March 2014

Sambungan : Hilangkan Penyakit Wahan

Tazkirah
15JamadilAwal 1435@17/3/2014

...sambungan

Hilangkan Penyakit Wahan

Dunia adalah sebagai alat atau jambatan kepada akhirat. Mematikan hubungan dunia akan meruntuhkan jambatan ke akhirat. Segala perhiasan yang ada di dunia adalah berbentuk pinjaman. Ada yang Allah berikan percuma, manakala untuk mendapat nikmat yang lebih besar lagi di akhirat, manusia harus menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang sewajarnya. Mengenali batasan halal dan haram, membezakan baik dan buruk, menyeimbangkan keperluan diri dan tidak bersikap berlebih-lebihan membawa kepada erti Al Falah yakni kejayaan hakiki dalam tafsiran pengabdian kepada Allah SWT.

Asas keimanan yang kukuh, kefahaman yang syumul ke atas makna kepada tugas sebagai hamba dan manusia ini jelas difahami oleh para sahabat sehingga membawa kepada gelaran Fursanun Fillail, Ruhbanun Fin Nahar (menjadi panglima jihad di siang hari dan menjadi ahli ibadat di malam hari). Mereka menempa kejayaan berganda dengan kekuasaan Islam, sehingga berjaya menyebarkan Islam di muka bumi ini dengan penaklukan 2/3 dunia di bawah wilayah Islam, kejayaan dalam bidang sains, astronomi, al falak, mantik, ilmu geografi, fizik, kimia, biologi, matematik, falsafah, muzik, statistik, perubatan dan pelbagai lapangan ilmu sehingga kota-kota seperti Cordova di Andalusia, Baghdad di Iraq, Istanbul di Turki, menjadi sebutan dalam lembaran sejarah di bawah sistem khalifah Islam. Semangat jihad (kesungguhan) menjadi tulang belakang kepada perjuangan membawa nama Islam dalam setiap aspek dan nilai kehidupan.

Para ahli tasawuf yang faqih begitu menghayati kesederhanaan dalam berurusan dengan muamalat kehidupan. Mereka yang mengerti tidak akan memisahkan 2 dunia ini sebagai jalan mendapatkan cinta daripada Allah SWT. Allah SWT menghiasi manusia dengan fitrah supaya manusia memakainya dengan selayaknya dan bukan sebagai alasan melupakan perintahNya dan laranganNya. Cinta kepada manusia dengan cara yang salah tanpa berpaut kepada Allah SWT, maka tidak membawa makna kepada takrifan ibadah. Cinta yang diikat dengan akidah, asas kepercayaan yang kukuh, dalam menjaga ikhtilat, batasan-batasannya akan mendapat mardhatillah (redha Allah SWT) yang didamba serta beroleh maghfirah (keampunanNya).

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita meneladani sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW, para sahabat baginda dan tabi' tabien yang mendapat petunjuk. Kita harus meyakini bahawa penyempurnaan manusia pada penciptaannya adalah menjadi hamba yang bertakwa kepadaNya, baik kalangan lelaki mahupun perempuan.

Wassalam


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment