Tuesday 11 March 2014

Mudahnya Menghabiskan Pahala

Tazkirah
9 JamadilAwal 1435@11/3/2014

Mudahnya Menghabiskan Pahala

Mengumpul duit bukannya senang. Menghabiskannya sekelip mata sahaja diperlukan. Begitu juga pahala. Bertimbun-timbun pahala boleh lebur dengan satu tindakan dosa. Bagaimanapun berbanding duit, kita amat jarang terasa sedang menghabiskan pahala.

Pahala boleh lebur dengan mengutuk orang. Pada hari ini tidak pelik seorang yang menjaga solat lima waktu, puasa Ramadhan dan makan minumnya semua halal tetapi tidak menjaga lidahnya. Senang-senang dia mengutuk orang. Setiap kali tiba Maulidurasul kitalah yang paling gembira. Dalam masa yang sama ajaran nabi tidak pernah diambil cakna:
"Mengutuk seorang Mukmin seperti membunuhnya"..(Riwayat Ahmad)

"Bukanlah orang beriman seorang yang suka menuduh, mengutuk, pelaku keji dan bermulut kotor"..(Riwayat Ahmad).

Suatu hari selendang seorang lelaki diterbangkan oleh angin. Lalu dia mengutuk angin. Lantas Rasulullah SAW mendidiknya.." jangan mengutuk angin, kerana angin menurut perintah sahaja. Sesiapa yang mengutuk sesuatu sedangkan kutukan itu tidak sepatutnya diterimanya, maka kutukan itu akan mengena kembali si pengutuk"...(Riwayat Abu Dawud).

Sedangkan angin pun haram dikutuk, inikan pula manusia, semulia-mulia makhluk. Harus diingat, pada hari ini perbuatan mengutuk berevolusi. Kalau dulu mungkin terhad kepada ucapan lisan. Kini lebih rancak dalam bentuk gambar, video dan sebagainya. Boleh jadi pagi-pagi berkongsi hadith...seminit kemudian menaip komen-komen yang mengutuk mereka yang dibenci.

Janganlah disebabkan satu keburukan, kita lupa semua kebaikan seseorang. Boleh jadi kebaikannya yang kita tidak tahu sebenarnya lebih banyak berbanding keburukan yang kita tahu. Fikirkan tentang diri sendiri. Boleh jadi kebaikan kita yang kita tahu sebenarnya jauh lebih sedikit berbanding keburukan diri yang tidak kita sedari.

Mujurlah Allah SWT bukan seperti kita sifatNya. Dengan satu sahaja ketelanjuran, kita terus diazab. Jika begitu...ke syurga tiada harapan langsung. Semoga titipan ini memberi manfaat kepada saya yang hina ini...dan juga para sahabat sekelian.

Wassalam


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment