Thursday 23 August 2012

Peluang membuat pahala lagi..ayuhhh



Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari
di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini
ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.
Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w.
 di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.

Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut
berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang
berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal,
 keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”
Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung
dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh
dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.
Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal
di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama
dan dilakukan enam hari berturut-turut.
Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara
terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal
 dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan
dikira sebagai satu ibadah juga.
Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.
Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.
Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah
seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya
seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda.
Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama
10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.
Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan 
dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?
Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar)

di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya

dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha

dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib

dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik

tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.
Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu
 akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari
 walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk
 puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi
“Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada
 puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan
diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari
dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi
sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.
Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.
Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai
 satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan
terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan
 itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.
Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan
 Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin
 di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar i
ngin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.
Sumber link : http://www.ukhwah.com/article.php?sid=2627
Nota: Niat merupakan azam untuk melakukan sesuatu ibadat,

dan letaknya di hati. Jika anda berazam ingin melakukan puasa 6 atau qadha’

puasa sebelum menjelang fajar, maka itulah yang dikatakan niat.

Ini sudah memadai dan tidak perlu melakukan lafaz niat.

Jika mahu berniat puasa 6 syawal : “sahaja aku puasa sunat bulan syawal kerana Allah swt “.



Monday 20 August 2012

1 Syawal 1433H di Masjid As-Syarif

Seawal jam 8.00 pagi umat Islam berpusu-pusu pergi ke Masjid As-Syarif untuk tidak melepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah.Kemeriahan dirasakan pabila dapat berjumpa bermaafan-maaf antara satu sama lain,al-maklumlah sudah lama tidak bersua..masing-masing duduk di luar kawasan kariah,tapi,syukurlah kerana di pagi Aidilfitri dapat bersua.
Solat sunat serta khutbah Aidilfitri telah diimam oleh Imam 2 Masjid As-Syarif.






Masjid AS SYARIF

Friday 17 August 2012

Hari Raya Aidil-Fitri


Assalammualaikum,
Berikut dilampirkan Program Menjelang Syawal untuk perhatian dan tindakan Tuan/Puan.


Tarikh
Aktiviti
Butiran/Tindakan
18 Ogos 2012
MALAM AIDIL FITRI
·         Malam Hari Raya-Bertakbir dari rumah ke rumah.
19 Ogos 2012
HARI RAYA AIDIL FITRI
·         Solat Sunat Aidil Fitri
( 8:30 pagi)


Wednesday 15 August 2012

Alhamdulilah..malam Qiamulaill meriah

 
Nazir,Imam serta Pegawai Masjid bersama Keluarga Pengasas Masjid As-Syarif

Alhamdulillah selesai sudah Majlis Malam Kasih Aidilfithri bagi tahun ini.Majlis yang saban tahun diadakan ini adalah khusus meraikan golongan ibu tunggal,anak yatim,anak istimewa,warga emas yang uzur serta tidak ketinggalan Pegawai dan jawatankuasa Masjid yang bertungkus-lumus menjayakan program sepanjang tahun.Alhamdulillah,majlis telah disempurnakan oleh Tuan Nazir Masjid As-Syarif,Hj.Mohd Arif Saring.
Pada mjlis ini juga,keluarga pengasas Masjid As-Syarif,Allahyarham Tan Sri Mohd Syarif,turut hadir.
Majlis dimulakan dengan iftar perdana,dimana ianya telah ditaja oleh Ybhg Dato Abd Samad bin Maharuddin serta Ybhg Dato Dr.Hj.Zabir bin Bajuri.
Selepas solat maghrib,bacaan tahlil areah dan majlis khatam Quran diadakan.Solat Isya' serta Solat Sunat Terawikh diadakan selwpas itu dan diikuti dengan majlis penyampaian sumbangan.
Manakala pukul 4.00 pagi nanti,InsyaAllah akan diadakan majlis Qiamulaill perdana dan sahur yang akan ditaja oleh Tuan Hj Mohd Yunus bin Mansor.Semoga segala ibadah kita akan diterima oleh Allah dan kepada para dermawan,jutaan terima kasih diucapkan.




Masjid AS SYARIF

Saturday 11 August 2012

Puasa dan Iman

bulan biasa ganjaran pahala biasa,bahkan bulan ramadhan,Allah yang berikan ganjarannya sendiri.duduk di dalam majlis ilmu lebih baik daripada 1000 kali solat sunat
,lebih baik daripada ziarah 1000 org sakit dan 1000 kali lebih baik iringi jenazah.Allah akan gandakan kepada siapa sahaja yang dikehendakinya.ada orang berpuasa kerana inginkan kepentingan tertentu.Sesungguhnya di dalam puasa itu terdapat keluarbiasaa,iaitu ketaqwaan.Jika ada ketakwaan di dalam hati,nescaya pelbagai perkara mungkar dapat dielakkan.Umat Islam jika laksanakan ibadah sepenuhnya haruslah mempunyai keimanan yang jitu.Hebat macamana pun seseorang itu,jika imannya tidak utuh,maka hatinya akan luntur.Kelebihan orang yang bertaqwa,Allah akan "lepaskan"akan dirinya daripada jalan sebarang kesukaran,diluaskan rezeki.
Demikian antara kandungan kuliah Subuh yang telah disampaikan oleh Ustaz Hazrin bin Ahmad.




Masjid AS SYARIF

Thursday 9 August 2012

sikitttttt aje lagi...tak mau rebut jugak ke

Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini.

Pernah di malam itu al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan!

Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah S.A.W mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah S.W.T sambil diikuti oleh para Sahabat R.A.

Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri dan sebagainya.

Tips

Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadar :

1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata; tidak untuk kesibukan lain.

2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.

3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah iktikaf dan qiyamullail 10 malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.

4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.

5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.

6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.

7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih-muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.

8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.

Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka. Amin.


(Sumber Iluvislam)


Masjid AS SYARIF

Monday 6 August 2012

Bukan sekadar cuti umum..tapi .....


 

Pertengahan Ramadhan yang dijanjikan keampunan oleh Allah sudah hampir ke penghujungnya. Di pertengahan Ramadhan ini juga, ada peristiwa besar yang selalu kita sebut, iaitu Nuzul Quran. Nurul Quran jika diterjemahkan dalam bahasa melayu kita, Penurunan Quran. Apa peristiwa disebaliknya? apa Hikmahnya? Jom kita sama2 ulangkaji kembali kisah dan peristiwa di sebalik Nuzul Quran.
Banyak artikel yang dapat kita baca mengenai Nuzul Quran di Internet, dan pelbagai sumber lain, tetapi, yang lebih utama, ialah, peranan kita dalam menghayati Quran itu sendiri.

Sepanjang Ramadan 15 Hari lepas, berapa muka surat Al-Quran sudah kita baca, apa manfaat dari setiap ayat yang kita baca. Alhamdulillah, jika kita dapat rasa kenikmatan bacaan Al-Quran itu dari mulut dan lidah kita. Dalam masa yang sama,cuba fahami, maksud tersirat disebalik ayat2 suci, maknanya kita mengambil manfaat Ramadhan ini untuk mentarbiah diri kita menjadi lebih tawaduk dan menunduk kepada Nya. Dengan Ramadhan, sebagai Bulan Latihan, manfaatkanlah setiap saat nafas kita dalam 30 hari ini, kita akan tergolong dalam kalangan mereka yang beruntung.

Nuzul Quran

NUZUL QURAN
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

(Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Jadi, marilah kita sama2 mengambil manfaat dan kebertakan di bulan yang mulia ini, iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. mudah-mudahan kita akan mendapat keberkatan dan ganjaran serta kita akan terdidik menjadi muslim yang bertakwa.
Wassalam