Saturday 1 March 2014

Menghina Hukum Allah SWT-bahagian 5

Tazkirah
29RabiulAkhir 1435@1/3/2014

...sambungan

Menghina Hukum Allah SWT

d) Terputusnya Hubungan Suami Isteri.

Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan dijatuhkan hukum bunuh apabila tidak mahu bertaubat. Sebab itu kalau sekiranya salah seorang suami atau isteri murtad maka pernikahan kedua-duanya terbatal walaupun begitu, kalau sekiranya yang murtad kembali bertaubat (masuk Islam semula) dalam masa 'idah isterinya belum habis (tamat) maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira kembali seperti asal, tidak perlu kepada akad nikah baru. Tetapi kalau dia tidak bertaubat dalam masa 'idah masih belum habis, nikah tersebut dianggap terbatal. Kalau dia bertaubat (kembali kepada Islam semula) selepas habis 'idah, dia perlu diakad nikah semula dengan maskahwin baru jika mahu meneruskan hubungan suami isteri yang sah.

Selain itu orang murtad, pernikahannya tidak sah samada dia mahu berkahwin sendiri dengan orang lain atau dia mahu menjadi wali nikah untuk perkahwinan orang lain.

e) Penyembelihannya Tidak Halal dan Segala Pahala Amalan Ibadat Terbatal.

Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan. Hukumnya sama dengan hukum penyembelihan orang kafir yang menyembah berhala. Kalau dia menganut agama ahli al-Kitab seperti menganut agama Nasrani (Kristian) sekali pun penyembelihannya tetap haram.

Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat yang dikerjakan - walau berapa banyak sekali pun - menjadi gugur dan terbatal, menjadi sia-sia, sebagaimana Allah berfirman, ertinya:

"Sesiapa yang kufur (ingkar syariat Islam) sesudah dia beriman maka sesungguhnya gugur dan terbatal segala (pahala) amalan baiknya dan dia di akhirat nanti tergolong dari golongan orang yang rugi." (Surah al-Maidah : ayat 5)

Ini akan berlaku kalau sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati dalam kufur. Tetapi kalau sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam semula, maka dia dituntut supaya mengqada'kan amal-amal ibadat seperti sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang tempoh murtad tersebut. Ada pun haji yang dikerjakan sebelum murtad tidak perlu diqada'kan.

Mayat Orang Murtad yang Dihukum Bunuh

Mayat orang murtad yang dihukum bunuh tidak boleh diurus seperti mayat-mayat orang Islam. Mayat tersebut tidak perlu dimandi kerana dia telah keluar daripada Islam, tetapi kalau dimandikan ia adalah harus. Juga tidak boleh disembahyangkan kerana sembahyang mayat ke atas orang kafir adalah haram. Sebagaimana Allah berfirman, ertinya:

"Jangan kamu sembahyang ke atas seorang pun yang mati dari orang-orang kafir itu selama-lamanya." (surah al-Taubah : ayat 84)

Demikian juga tidak harus dikebumi di tanah perkuburan orang Islam, bahkan harus dikebumikan di tanah perkuburan orang kafir atau di tempat khas yang berasingan.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment