Friday 7 March 2014

Ammar Makruf Nahi Mungkar-3

Tazkirah
5JamadilAwal 1435@7/3/2014

...sambungan

امر معروف نهي منكر

Sabda Rasulullah saw;
"Siapa yang menyaksikan sesuatu mungkar, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tiada berkuasa, maka dengan lisannya. Jika tiada berkuasa juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian adalah selemah-lemah iman".

Masyarakat yang baik ialah masyarakat maju, bertamadun, subur dengan suasana aman bahagia, terjalin ikatan mesra dan bersatu padu yang berasaskan akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Tentu sekali masyarakat ini akan sentiasa menerima cucuran rahmat serta perlindungan Allah.

Beginilah masyarakat yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, padahal masyarakatnya terdiri daripada pelbagai rupa bangsa, aliran kepercayaan dan darjat, namun mereka dapat hidup dalam suasana penuh kekeluargaan.

Mengapa masyarakat pada zaman Rasulullah SAW boleh hidup dalam keadaan perpaduan yang utuh dan kukuh serta aman makmur? Bila diteliti helaian sirah Baginda, antara rahsianya ialah kerana Rasulullah SAW serta sahabat dan seluruh anggota masyarakatnya menegakkan amar makruf nahi mungkar (menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat mungkar) di tengah-tengah masyarakat.

Masyarakat Islam masa kini seharusnya mencontohi apa yang dipraktikkan Rasulullah SAW pada masa silam dalam membangun masyarakat harmoni yang tinggi nilai akhlaknya serta perpaduan mengagumkan. Dengan ini syiar Islam mampu berada di puncak kegemilangannya dan syariat Islam dengan mudah pula dapat ditegakkan.

Tidak dapat dinafikan lagi, Islam amat menitikberatkan kedamaian dan perpaduan masyarakat serta membenci perbalahan atau perpecahan. Lantaran itu, Islam menghulurkan tanggungjawab kepada setiap anggota masyarakat supaya menghidupkan amar makruf nahi mungkar kerana manfaatnya kepada kehidupan umat Islam yang sejahtera.

Firman Allah yang bermaksud: "Perintahlah orang lain supaya berbuat baik dan laranglah ia daripada berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap cubaan yang menimpamu." (Surah Luqman, ayat 17)

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment