Thursday 27 December 2012

Khutbah 28 Disember 2012

 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia "MUHASABAH DIRI" (28 DISEMBER 2012 / 14 SAFAR 1434H)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: "MUHASABAH DIRI". Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Tahun baru sekali lagi bakal menjelma dengan bermulanya tahun 2013 masihi. Tahun yang bakal dipenuhi dengan cabaran ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya selama ini. Seperti mana tahun-tahun baru sebelum ini, kita mulakan dengan lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan  disamping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya. Namun sebagai muslim yang memahami akan kepentingan hidup sebagai satu Ibadah, seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan tahun baru ini. Firman Allah SWT di dalam surah adz-Dzaariyat ayat 50: Maksud:"(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): "Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata." Justeru, sambutan tahun baru dalam Islam bukan sahaja satu sambutan yang bersifat bermegah dan bergembira semata-mata tetapi kita harus sandarkan kepada konsep bermuhasabah, merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya. Semoga kehadiran tahun baru ini membawa pengertian yang cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Bermuhasabah diri adalah satu amalan para anbiya, mursalin dan orang-orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri. Persoalan besar timbul di sini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah? Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang untuk mandapat keredhaan Allah SWT. Mengikut Ibnu Qudamah: Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat. Ibnul Qaiyim pula berkata: Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali. Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadith Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA iaitu: Maksud: "Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak)."(Riwayat at-Tirmizi) Mimbar ingin menyatakan bahawa sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan. Memetik kata-kata seorang ulama' iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa: Daripada perasaan takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT .Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat redha nafsu atau berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu lazimlah diri dengan senantiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Marilah kita bersama-sama menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam. Sejauh manakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai?. Oleh itu, dalam menyambut tahun baru pada kali ini marilah kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah sebagai khalifah Allah SWT dan sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita masih berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata menurut hawa nafsu yang bersarang di jiwa. Rebutlah peluang dan masa yang diberikan Allah SWT kepada kita agar dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah serta amal soleh. Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa seperti di dalam surah al-Asr ayat 1-3 iaitu: Maksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." Berdasarkan ayat ini telah menekankan dua prinsip asas iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagi memimpin diri untuk meneruskan tahun mendatang. Sudah semestinya kita semai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan Islam. Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala kecelaruan dan keburukan tingkahlaku serta perbuatan. Mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal. Hayatilah ungkapan "Berkatalah benar sekalipun pahit" untuk menjadi satu semangat kepada kita bilamana berhadapan dalam setiap cabaran dan dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika. Kita juga hendaklah saling ingat mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika timbal balik antara jiwa benar kita dituai, maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai. Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah, Marilah kita sama-sama menjana kembali semangat Islam dengan mata hati kita. Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir sepanjang hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan bersama dengan orang lain. Kita mulai semangat tahun baru ini dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredaan Allah SWT. Percayalah bahawa dengan bermuhasabah, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua,kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri mereka dari masa ke semasa. Ingatlah pesanan sadina Umar al-khattab: Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 110: Maksud: "Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik."



HJ.ZAWALAJAM B.HJ.MASHOD
(0102318581)