Thursday 6 November 2014

Hijrah dan Pengorbanan, Ke manakah KITA ??

Untuk paparan video, KLIK PAUTAN DI BAWAH
m.youtube.com/watch?feature=youtu.be&v=keCbzKH-PzI



Saturday 25 October 2014

Majlis Cukur jambul,tahlil dan doa

Jemputan: Encik Irmy Hadi bin Haji Zainal
Tarikh: 25 Oktober 2014( Sabtu )
Masa: 3.00 petang
Tempat: Jalan Melati,Taman Seri,Telok Datok.


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Majlis cukur jambul,tahlil dan doa

Jemputan: Hajah Che Sah binti Bujang
Tarikh: 25/10/2014( Sabtu )
Masa: 11.30 pagi
Tempat:Jalan Dahlia


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Thursday 9 October 2014

Qurban MASTD dan TAKAFUL MALAYSIA 1435H

Berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw
Akad sebelum lembu Qurban disembelih

Syarikat Takaful Malaysia menyumbang 2 ekor lembu untuk diagihkan kepada yang layak

Petugas-petugas sedang sibuk menguruskan tugas masing-masing
Pegawai MASTD bersama wakil Takaful Malaysia

Sunday 5 October 2014

Sekapur Sireh..Nazir Masjid As-Syarif Telok Datok

SEKAPUR SIREH PEMANIS KATA PELEMBUT BICARA ASSALAMUAALIKUM W.B.T. Segala puji bagi Allah, tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat serta salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. pesuruh dan kekasih Allah, yang amat mengasihi umatnya serta pemberi syafaat kepada seluruh umat manusia di hari pembalasan kelak. Hari Raya Eiduladha atau Hari Raya Haji diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Kita amat menantikan ketibaan hari tersebut, walaupun sambutannya tidak semeriah Hari Raya Eidulfitri. Sementara itu, kerajaan pula menganugerahkan cuti untuk memberi peluang kita meraikannya bersama keluarga dan rakan-rakan. Hari Raya Eiduladha diraikan pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Ia dikaitkan dengan ibadah haji, kerana umat Islam yang pergi menunaikan haji pada tahun tersebut telah dapat menyempurnakan ibadah haji mereka. Sebagai umat Islam, kita amat wajar mengetahui bahawa ibadah qurban yang dituntut itu, adalah sebagai memperingati dan menghayati pengorbanan Nabi Ismail a.s. yang sanggup membenarkan dirinya disembelih oleh Ayahandanya Nabi Ibrahim a.s. atas keyakinan bahawa Ayahandanya telah benar-benar menerima wahyu dari Allah s.w.t. Menurut sejarah Islam, semasa Nabi Ismail a.s. hendak disembelih oleh Ayahandanya, tanpa diduga Allah s.w.t. telah menggantikannya dengan seekor kibas. Ketaatan dan keyakinan Nabi Ismail a.s. ini adalah satu tanda keimanan dan ketaqwaan seorang hamba terhadap penciptaNya. Peristiwa penyembelihan kibas, telah disyariatkan oleh Allah s.w.t. sebagai ibadah qurban. Sejak itu, setiap tahun seluruh umat Islam dituntut untuk melakukan ibadah qurban pada Hari Raya Haji sebaik selesai menunaikan solat sunat Eiduladha iaitu pada 10 Zulhijjah. Penyembelihan qurban boleh dilakukan pada hari tasriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah dan dihukumkan sebagai sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut bagi yang berkemampuan. Umat Islam wajar memahamkan bahawa ibadah qurban mempunyai hikmah yang sangat simbolik antaranya :- Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim a.s. yang sangup menyahut perintah Allah s.w.t untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s. Memperingati kepatuhan Nabi Ismail a.s. terhadap ajaran Nabi Ibrahim a.s. bukan sahaja sebagai bapanya bahkan sebagai pesuruh Allah s.w.t. Melahirkan rasa syukur terhadap Allah s.w.t. kerana memberi nikmat yang tidak terhingga limpahnya. Menanamkan perasaan kasih serta sayang dan saling menghormati antara golongan kaya dengan golongan miskin . Sewajarnya kita mengetahui, setiap tahun penyertaan ibadah qurban semakin meningkat sesuai bertambahnya haiwan sembelihan yang diimpot. Ini menunjukkan ekonomi umat Islam telah semakin berkembang selari dengan peningkatan kefahaman berkait konsep ibadah qurban itu sendiri. Justeru, saya mengharapkan seluruh ahli dan anak kariah Telok Datok khasnya serta para jemaah amnya, hadirkanlah diri ke program-program ilmu yang dianjurkan oleh masjid, agar kita menjadi umat yang berilmu dan bermaklumat. Beribadah tanpa ilmu ibarat kita berjalan di lorong gelap, teraba-raba mencari arah. Ayuh marilah sama-sama kita beramal dan beribadah dengan panduan ilmu, mudah-mudahan kita tidak tersesat. “SALAM EIDULADHA, MAAF ZAHIR BATIN DAN SELAMAT MELAKUKAN IBADAH QURBAN” Sekian, wassalamualikum wbt. “BERKHIDMAT KERANA ALLAH” HAJI MOHD ARIF BIN SARING Nazir Masjid As-Syarif Telok Datok.

Monday 15 September 2014

PROGRAM QURBAN dan AQIQAH 1435H/2014

Assalammualaikum.
Kemaskini peserta Ibadah Qurban 1435H/2014.
26 September 2014 jam 8.00 malam

1-Hj.Khairuddin Hj.Jauhar -1ekor
2-Pn.Siti Aisyah Hj.Bohari -1 ekor
3-En.Zainul Izha Abdullah Sani-1 ekor
4-Hamba Allah-1 ekor
5-Hjh.Zalina Mashod-1 bahagian
6-Pn.Rozidah Hj.Ahmad Nordin-2 bahagian
7-En.Mohd Amin Mohd Din-1 bahagian
8-Pn.Aizun -1 bahagian
9-Hj.Sulaiman - 2 bahagian
•••••••••••••••••••••••••••••••••••
10-En.Mohd Yusnor Mohd Yusof-1 bahagian
11-En.Nazha Hj.Zainuddin- 1 bahagian
12-Hj.Sidek Stroo- 4 bahagian
13-Hjh.Ramlah Mohd Noor- 1 bahagian
•••••••••••••••••••••••••••••••••
14-Hjh.Saamah Tamsir- 1 bahagian.
15-Hj.Mohd Arif Saring-1bahagian
*16-Hj.Shamsudin (Tabung Haji)- 2 bahagian
*17-En.Rajak- 1 bahagian
•••••••••••••••••••••••••••••••••
*18-Takaful Malaysia- 2 ekor
••••••••••••••••••••••••••••••••••
*19-Kamarul Ariffin bin Dato'A.Samad- 1 ekor

SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Tuesday 29 July 2014

kini tiba masanya..Syawal 1435H

Malam Aidilfitri di MASTD amat meriah sekali, Anak-anak kariah ramai yang telah pulang ke Taman Seri beraya bersama keluarga tersayang. Selepas solat Isya',jemaah MASTD telah bersama-sama bertakbir dan sejurus selepas itu, Y.Bhg Tuan Timbalan Nazir, Tuan Haji Safiee Ismail telah menyampaikan ucapan mewakili Nazir.
Sebaik sahaja ucapan, jemaah bergerak mengikut jalan-jalan seperti yang telah ditetapkan untuk bertakbir dari rumah ke rumah.Upacara tradisi ini sememangnya dinanti-nantikan,sabil bertakbir hubungan silaturrahim dapat dieratkan.
Suasana di pagi Syawal juga tidak kurang hebatnya,seawal jam 8 pagi jemaah telah mula berkumpul di MASTD bagi menunaikan tanggungjawab.

Malam Barakah Ramadhan dan Kasih Aidilfitri 2014

Pada 24 Julai 2014 yang lalu, MASTD telah mengadakan majlis Malam Barakah Ramadhan dan Kasih Aidilfitri.Majlis dimulakan pada jam 6.30 petang dengan acara Khatam Al-Quran yang telah dipmpin oleh Imam 1 MASTD, Ustaz Haji Sajuni bin Jumaron.
Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, para jemaah telah berbuka puasa bersama-sama.Alhamdulillah,ramai jemaah yang hadir.
Selepas majlis berbuka,para jemaah menunaikan solat Maghrib,Isya dan terawikh secara berjemaah. Sebaik sahaja kesemua solat dilakukan, acara malam Barakah Ramadhan dan Kasih Aidilfitri 2014 telah dimulakan dengan ucapan daripada Tuan Nazir MASTD , Y.Bhg Tuan Haji Mohd Arif bin Saring dan sebaik sahaja ucapan beliau, YM Raja Dato Haji Uzair bin Tengku Zainon Rashid Shah, Orang Besar Daerah Kuala Langat telah menyampaikan ucapan seterusnya merasmikan majlis pada malam tersebut.
Pada malam tersebut, YM Raja Dato haji Uzair bin Tengku Zainon Rashid Shah juga telah sudi menyampaikan sembangan kepada kira-kira 44 orang penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim,golongan orang kurang upaya ,ibu/bapa berdikari dan fakir.
Alhamdulillah.
Mewakili pihak pengelola majlis,jutaan penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dan juga jutaan terima kasih juga diucapkan kepada para dermawan.

Tuesday 22 July 2014

MALAM BARAKAH RAMADHAN & KASIH AIDILFITRI 2014

 


Tuan/Puan adalah dijemput hadir.
Tentetif program :

24 Julai 2014 (Khamis)

6.00 petang - Kehadiran anak kariah
6.15 petang - Ketibaan RAJA DATO' HAJI UZAIR BIN TENGKU ZAINON RASHID SHAH, ENGKU PENGGAWA MUDA PADUKA MAHA BIJAYA, ORANG BESAR DAERAH KUALA LANGAT.

6.30 petang - Majlis Khatam Quran
7.32 malam - Berbuka / Solat Maghrib berjemaah
7.45 malam - Jamuan Makan
8.46 malam - Solat Isya' berjemaah /Solat Terawikh/ Tahlil ringkas
9.30 malam - Ucapan : Pengerusi Ihya Ramadhan
9.35 malam - Ucapan dan Perasmian  oleh :
RAJA DATO' HAJI UZAIR BIN TENGKU ZAINON RASHID SHAH, ENGKU PENGGAWA MUDA PADUKA MAHA BIJAYA, ORANG BESAR DAERAH KUALA LANGAT.
9.50 malam : Penyampaian sumbangan
10.30 malam : Moreh


25 Julai 2014 (Jumaat)

3.30 pagi - Qiamulaill
5.00 pagi - Sahur perdana MASTD ( tajaan Tuan Haji Mohd Yunus Mansor)
5.52 pagi - Solat SUBUH berjemaah
6.30 pagi - BERSURAI

Wednesday 25 June 2014


Ramadhan..memang KAMI tunggu kehadiran MU

Kenangan terindah, guru dan pelatih Pusat Giatmara Banting bergambar bersama Tuan Nazir

24 Jun 2014, telah berlangsungnya program gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran Masjid As-Syarif Telok Datok. Program tahunan ini sememangnya mendapat kerjasama yang baik dari guru serta para pelatih Pusat Giatmara Banting.
Kira-kira hampir 80 orang terlibat dalam program ini.
Rajinnya Tuan Nazir kita ni...

Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:

"Binalah masjid-masjid, dan keluarkanlah sampah-sampah daripadanya kerana sesiapa membina sebuah rumah ibadah bagi Allah Subhanahu Wata'ala, maka Allah Subhanahu Wata'ala membina baginya sebuah rumah di syurga, dan mengeluarkan sampah daripadanya adalah mas kahwinnya bidadari."

Riwayat Thabrani dalam Al-Kabir dan Dliya dalam Al-Mukhtarah dari Abu Qarshafah
HELWA MASTD juga turut turun padang
 
Masing-masing memberikan khidmat yang terbaik
Sebahagian daripada pelatih Pusat Giatmara Banting
Jutaan penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat.Semoga ALLAH swt memberikan ganjaran yang sebai-baiknya.
 
 
 
 

Thursday 19 June 2014

Program Ramadhan 2014 / 1435 H Masjid As-Syarif Telok Datok

Ramadhan bakal menjelang tiba tidak berapa lama lagi. Pihak Masjid As-Syarif Telok Datok telah merangka beberapa program seperti yang terdapat di dalam buku program Ramadhan 1435H ini. Kepada anak kariah yang ingin menyertai program tahlil arwah,boleh download buku ini.

RAMADHAN 1435 2014

Tuesday 17 June 2014

Ustaz Izha Ariff di Masjid As-Syarif Telok Datok


Adik  Aiman Azim  Azafri bersama dengan Y.Bhg Ustaz,mudah-mudahan adik ini akan mengikuti jejak Ustaz

16 Jun 2014 bersamaan 18 Sya'ban 1435H,merupakan hari yang cukup bersejarah dan amat bermakna kepada anak kariah Masjid As-Syarif Telok Datok. Ceramah yang bertajuk Ramadhan..Ku tunggu Mu Datang yang telah disampaikan oleh Y.Bhg Ustaz Dr. Hj. Mohd Izhar Ariff telah membuatkan jemaah tidak kering gusi. Walaupun Ustaz difahamkan baru sahaja sampai dari Negeri Kelantan,namun persembahan beliau adalah mantap sekali.
Turut hadir ke program malam tersebut, Yang Mulia Raja Dato' Haji Uzair bin Tengku Zainon Rashid Shah,Engku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya,Orang Besar Daerah Kuala Langat.
Tuan Nazir Masjid As-Syarif bersama dengan Yang Mulia Raja Dato'Uzair ( Orang Besar Daerah Kuala Langat )
Antara jemaah yang hadir
Dari kiri : Penolong Setiausaha Masjid As-Syarif, Tuan Nazir Masjid As-Syarif, Y.Bhg Ustaz dan Tuan Bendahari Masjid As-Syarif



Kesimpulan daripada ceramah yang telah disampaikan,bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Sewajarnyalah setiap muslim mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh samada disiang hari atau dimalamnya.

Bulan Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan maka setiap orang yang menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat persiapan yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.

Kem Tahsin Solat 3- Solat berjemaah


Peserta termuda
Pada tanggal 15 Jun 2014, bersamaan 17 Sya'ban 1435H, pihak Masjid As-Syarif Telok Datok telah menganjurkan Kem Tahsin. Program ini merupakan program yang ketiga dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada anak kariah. Pada kali ini, penekanan mengenai pentingnya SOLAT BERJEMAAH dan telah disampaikan oleh Tuan Nazir Masjid Kampung Kelanang, Yang Berbahagia Ustaz Hasnurol Bin Hashim.Program pada pagi
Pendaftran para peserta


Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Imam 1 Masjid As-Syarif, Tuan Haji Sajuni bin Jumaron yang mewakili Tuan Nazir. Dalam ucapannya, beliau telah menekankan bahawa pentingnya solat berjemaah dan berharap agar anak kariah dapat memenuhkan lagi rumah Allah ini. Disamping itu juga beliau berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa.


Imam 1 Masjid As-Syarif Telok Datok sewaktu menyampaikan ucapan perasmian
Y.Bhg Ustaz Hasnurol Hashim,selaku penceramah
Secara amnya,program ini amat baik sekali terutama kepada golongan-golongan muda agar mengetahui betapa pentingnya solat berjemaah dan kelebihannya.Ini kerana Daripada Qabath bin Asyim al-Laithi RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: “Solat dua orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah berbanding solat yang dilakukan oleh empat orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian. Solat empat orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat yang dilakukan oleh lapan orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian. Solat lapan orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat yang dilakukan oleh seratus orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian”.
Kesimpulannya berdasarkan kepada hadis di atas, marilah kita semua datang ke masjid untuk solat berjemaah kerana semakin ramai ahli jemaah maka semakin banyak pahala dan ganjaran yang kita dapat. Janganlah kita mencipta berbagai alasan bertujuan untuk mengelakkan diri kita daripada datang ke masjid untuk solat berjemaah kerana yang ruginya adalah diri kita sendiri!!

Wallahua’lam.


Monday 28 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam (3)

Tazkirah
28JamadilAkhir 1435@28/4/2014

...sambungan

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam

Islam memang syamil (sempurna), kamil (lengkap) dan mutakamil (melengkapkan).

Tetapi melaungkan slogan saja tidak akan pernah mencukupi. Begitulah juga, sebagaimana kita melaungkan slogan mencintai Nabi s.a.w., itu saja tidak akan pernah mencukupi.

Selain berkata-kata, bergeraklah membumikan usaha.

Usahalah untuk memahami Islam ini dengan baik dan realisasikanlah ia dalam akhlak kita, peribadi kita, kata-kata kita, disiplin dan kesungguhan kita.

Ramai orang yang inginkan kemenangan, tetapi disangkanya dengan hanya berkata-kata dan melaungkan slogan sudah akan membawanya dekat kepada kemenangan.

Allah akan membantu ummat ini namun bukanlah secara ajaib, tetapi melalui usaha.

Berusahalah untuk memahami Islam dengan baik. Berusahalah untuk mendalami Al-Quran dan hadis kerana itulah sumber utama yang menjadi panduan kehidupan seorang muslim. Berusahalah untuk berinteraksi dengan cara yang baik dengan semua pihak tidak kiralah sama ada yang berbeza agama, berbeza cara fikir dan latar belakang politik.

Berusahalah memperbaiki akhlak dan peribadi kita kerana itu adalah cermin yang paling ketara terhadap Islam. Nabi s.a.w. datang membawa contoh peribadi dengan akhlak yang unggul, bagaimana mungkin kita yang mengatakan kita cinta kepada baginda berakhlak dengan akhlak yang buruk pula?

Berusahalah juga untuk memperbaiki kesungguhan dan keseriusan kita dalam menjaga ibadah, disiplin menuntut ilmu, membaca, berfikir dan berdakwah.

 
Mari perbaiki kehidupan kita, kehidupan masyarakat dan ummat kita. Maulid Nabi bukan sekadar untuk disambut dengan melafazkan kecintaan di mulut, tetapi ia harus dibuktikan dalam usaha kita.

Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita leka berada di atas katil-katil keselesaaan dan kesenangan sehingga melalaikan kita dari tugas-tugas untuk beribadah, memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri kita sebagai seorang muslim?

Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita biarkan diri kita dihanyutkan oleh arus nafsu sehingga membuatkan kita seringkali tertipu dengan dunia dan selalu berharap pada kepentingan-kepentingan duniawi serta melupakan masa depan kita di akhirat?

Cinta Nabi s.a.w. harus disertai dengan kesanggupan, kesungguhan dan keseriusan kita untuk memahami Islam dan menyampaikannya pula kepada masyarakat.

Inilah cinta yang sebenar. Ini jugalah cinta yang telah menautkan generasi awal. Mereka tidak hanya sekadar menerima Islam untuk diri mereka sahaja menjadi soleh, tetapi mereka berusaha pula dengan penuh kesungguhan untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Ummat yang memahami Islam ini semakin lama semakin membesar dan bertaut pula di atas keimanan kepada Allah. Akhirnya, setelah syarat-syarat kemenangan itu mereka penuhi, maka tidak ada apa lagi yang tinggal ketika itu melainkan, kemenangan itu milik Islam.

Wassalam


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Sunday 27 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam (2)

Tazkirah
27JamadilAkhir 1435@27/4/2014

...sambungan

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam


Kekaguman ini, kecintaan ini hanya akan menjadi bermakna bila kita menuruti sunnah perjuangan baginda. Apakah sunnah perjuangan baginda yang terbesar?

Mengambil dan membumikan Islam secara keseluruhan dalam hidup. Itulah kemenangan yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w. dalam diri para sahabat dan menjadi contoh kepada masyarakat dunia ketika itu.

Itulah sunnah terbesar yang perlu kita ikuti. Rasul s.a.w. tidak datang hanya semata-mata untuk mengajar kita cara berpakaian atau jenis pakaian mana paling baik, tidak hanya semata-mata diutuskan untuk mendidik kita cara berpolitik, tidak juga semata-mata diutuskan untuk mendidik kita supaya hanya menjadi abid atau rahib 24 jam dalam kehidupan kita.

Tetapi Rasul s.a.w. datang untuk mendidik manusia supaya mengambil Islam dalam keseluruhan hidupnya. Namun, sayangnya kita yang menginginkan kemenangan Islam ini, mengambil Islam di satu sudut dan meninggalkannya pula di satu sudut yang lain.

Islam itu tidak hanya ada dalam cara berpakaian kita, tetapi ia juga wujud dalam akhlak dan peribadi kita. Islam itu tidak hanya ada dalam ibadah dan zikir kita, tetapi ia juga wujud dalam cara kita berpolitik dan menguruskan ekonomi negara. Islam itu tidak hanya ada dalam bentuk syiar-syiar yang tertentu seperti masjid, Al-Quran dan sebagainya itu, tetapi ia wujud juga dalam kesungguhan usaha dan disiplin menguruskan kehidupan.

Ada orang hari ini yang mengambil aspek-aspek tertentu sahaja daripada Islam. Baginya, itu sahajalah Islam. Itu sahajalah yang dididik Islam.

Ada orang yang memfokuskan pada aspek pembersihan jiwa dan ibadah, baginya itulah saja yang dididik oleh Islam. Ia tidak memberi perhatian dan tidak melibatkan diri dalam usaha-usaha pentadbiran, politik dan ekonomi. Baginya, Islam ini cukup dengan pembersihan jiwa dan kita pasti akan menemui kemenangan yang dijanjikan itu nanti.

Ada pula yang memfokuskan pada bidang politik sahaja. Baginya, itulah cara termudah untuk mendidik masyarakat dengan Islam. Setelah diambil alih kuasa, mudahlah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam. Itulh tafsiran kemenangan padanya.

Tetapi adakah semudah itu?

Kalau semudah itu, maka Rasul s.a.w. tidak perlu bersusah-payah mengusahakan pendidikan untuk masyarakat dari bawah ketika berada di Makkah. Bukan baginda tidak ada peluang untuk menjadi pemimpin politik, bahkan baginda sudah ditawarkan pun oleh pembesar-pembesar Quraisy, tetapi baginda menolak. Bukan itu yang menjadi tujuan utama baginda.

Baginda juga tidak memfokuskan hanya pada duduk berzikir dan beribadah di dalam masjid semata-mata, bahkan baginda merealisasikan kesungguhan baginda dalam usaha berpolitik dan memelihara ekonomi masyarakat Islam waktu itu. Itu adalah contoh yang ada pada peribadi Rasul s.a.w., bahawa Islam itu syumul (menyeluruh) meliputi semua aspek kehidupan.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Saturday 26 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam

Tazkirah
26JamadilAkhir 1435@26/4/2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam


Kita tidak menafikan bahawa ummat Islam ini, semuanya mencintai Nabi s.a.w. Bila diungkapkan saja nama Nabi s.a.w., terus timbul rasa kekaguman dalam diri pada usaha dan jasa Nabi s.a.w. terhadap ummat ini. Ada yang bahkan tidak tertahan air matanya, terus mengalir bila diungkapkan sirah-sirah perjuangan baginda s.a.w.

Ya, bagaimana mungkin kita tidak kagum pada susuk tubuh yang pernah dilempar perut unta yang busuk ke belakang badannya kala ia sedang solat di depan Kaabah, susuk tubuh yang tercedera di medan Uhud kala bertempur mempertahankan maruah Islam, susuk tubuh yang sanggup berlapar dan hidup sederhana demi menyampaikan Islam ini kepada ummatnya. Bagaimana mungkin kita tidak kagum?

Perjuangannya sangat hebat. Sebab itulah Allah berfirman dalam Al-Quran :

"Sesungguhnya pada diri Rasul itu ada contoh yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (rahmat) Allah dan hari akhirat."[Al-Ahzab : 21]

Tetapi, kekaguman dan pujian saja tidak mencukupi. Kekaguman dan pujian ini jika tidak dituruti dengan usaha untuk mengikuti apa yang telah Nabi s.a.w. tinggalkan untuk kita, maka ia hanya tinggal bermakna untuk diri kita, tetapi tidak bermakna untuk ummat.

Ramai orang boleh berceramah dan bersyair memuji Nabi s.a.w., tetapi berapa ramai pulakah yang bersedia menuruti sunnah perjuangan baginda di atas jalan kesusahan dan kepayahan itu?

Ramai orang yang berzikir, kuat beribadah kerana ingin mengikuti Rasul s.a.w., tetapi berapa ramai pula yang menggunakan bekalan ibadahnya itu untuk turun ke medan perjuangan menyampaikan Islam, menghadapi kesulitan sebagaimana yang telah dihadapi oleh Rasul s.a.w.?

Ramai pula orang yang solat, tetapi kadang-kadang di luar solatnya dia menyokong sistem kezaliman dan kemungkaran.

Ramai juga orang yang berzikir dan berselawat di dalam masjid, tetapi di luarnya dia memaki hamun, mencemuh dan mengeji manusia.

Kita kagum kepada Nabi s.a.w., berarak saban tahun memuji dan berselawat ke atas Nabi, akhirnya, ke manakah kita akan membawa kekaguman kita ini?

Adakah kekaguman ini hanya bermula di hari sambutan dan akan berakhir di hari yang sama juga? Adakah kekaguman ini hanyalah hiasan di mulut kita saja dan usai berkata-kata tentang Nabi, kita bisa berkata apa saja termasuk mencaci maki dan berdusta?

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Tuesday 8 April 2014

Inikah Erti Bahagia.(2)

Tazkirah
8JamadilAkhir 1435@8/4/2014

...sambungan

Inikah Erti Bahagia

Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.

Realitinya, sudah menjadi "rules of life" (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:

"Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya." (Surah Al-Mulk)

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar.

Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al-Malik Farouk (Mesir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.

Bukti hilangnya bahagia.

Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang…

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang "hilang" di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Monday 7 April 2014

Inikah Nama Bahagia

Tazkirah
7JamadilAkhir 1435@7/4/2014

Inikah Nama Bahagia


Bahagia itu fitrah tabie manusia. Semua orang ingin bahagia. Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, dia layak dihantar ke Hospital Bahagia. Kenapa? Sudah tentu orang itu tidak siuman lagi. Manusia yang siuman sentiasa ingin dan mencari bahagia. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.


Bahagia itu relatif?

Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apa  erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu "moving target" yang tidak spesifik ertinya.

Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.

Sumber dalaman atau luaran?

Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK