Sunday 16 March 2014

Hilangkan Penyakit Wahan

Tazkirah
14JamadilAwal 1435@16/3/2014

Hilangkan Penyakit Wahan

Ramai orang yang menyangka atau berfikiran negatif bahawa dengan berfikir soal kematian ia akan melemahkan badan kita daripada bekerja dan hanya mampu menumpu urusan tikar sejadah semata-mata. Ramai yang berkata bahawa mengingati mati akan merencatkan motivasi kepada sikap untuk mencapai kejayaan. Malah ada juga yang berpendapat bahawa berfikir tentang kematian, menjadi sebab mengapa orang Islam lemah dan tidak berjaya.

Inilah suatu kefahaman yang salah dan tidak wajar menjadi satu i'ktikad atau pegangan hidup kita. Asas kepercayaan yang betul akan membawa kepada hala tuju kehidupan kita. Sedangkan matlamat kehidupan yang ditekankan dalam Islam adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Apakah salah sekiranya kejayaan, nikmat, serta perolehan di dunia ini sebagai suatu perkara yang dibenci Islam? Kita telah menghalang pemikiran kita dengan menerima serta mempercayai bahawa sesuatu perkara perlu dibiarkan sahaja kerana dalam urusan Allah SWT semata-mata dan membiarkannya yakni redha tanpa sebarang usaha, tetapi dalam masa yang sama masih juga mengharapkan agar mendapat kejayaan. Sifat tawakkal yang disalah ertikan sebagai mengharapkan sesuatu keajaiban berpihak kepada diri tanpa usaha merupakan suatu penyakit yang merbahaya.

Berbalik kepada persoalan kematian, Nabi Muhammad SAW pernah menyifatkan bahawa manusia yang paling cerdik adalah mereka yang selalu mengingati kepada kematian. Kematian adalah suatu pengakhiran kepada kehidupan dunia, untuk suatu peralihan ke destinasi yang baru iaitu alam barzakh dan seterusnya alam akhirat. Destinasi-destinasi alam yang berbeza ini membawa makna bahawa erti kehidupan tidak akan pernah berakhir hanya setelah keluarnya roh daripada badan ketika di dunia, tetapi pengembaraan yang akan disertai oleh kita nanti merupakan suatu pengembaraan yang panjang.

Pengembaraan yang panjang ini memerlukan bekalan yang mencukupi bagi setiap destinasi. Bekalan hanya dimiliki di suatu alam iaitu dunia. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW pernah membuat analogi yang menarik terhadap pengembaraan manusia sebagai hamba di dunia ini sebagai suatu pelayaran kapal yang berangkat ke sebuah destinasi lalu singgah di sebuah pulau indah, di sana manusia meredahi pulau mencari bekalan dalam keasyikan nikmat, ada yang mendapat bekalan sebaiknya, tetapi ada yang terpedaya dengan aneka nikmat, sehingga kapal belayar mengambil mereka dalam keadaan mereka tidak membawa bekalan sebanyaknya dan ada yang tiada.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment