Gambar sekadar perhiasan |
JUMAAT adalah hari paling mulia serta mempunyai beberapa fadilatnya untuk direnungi.
Kitab As Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada Jumaat.
Antara
peristiwa itu ialah perkahwinan Nabi Adam dan Hawa; Nabi Yusuf dengan
Zulaiha: Nabi Musa dengan Shafura binti Syuaib; Rasulullah saw dengan
Khadijah; Rasulullah dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar serta Ali bin
Abi Thalib dengan Fatimah Zahara binti Muhammad.
Daripada
Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik
hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam
diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.
“Pada
Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang
beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan
permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).
Dalam
hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan
ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari
yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak
terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari
Jumaat.
“Pada
hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila
meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah
memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu
kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis
riwayat Tirmizi).
Solat
Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari
itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan
ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.
“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu.
“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.
“Sesiapa
hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah
seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia
seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
Apabila
imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut
mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu
seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan
dalam buku kehadiran malaikat.
Umat
Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat
untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan
tertib ketika menghadiri solat Jumaat.
Imam
Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa
berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat,
terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka
diberi tambahan tiga hari lagi.
“Sesiapa
yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi
khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”
Hadis
di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya
makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya
khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi
teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.
Daripada
Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Jika seseorang antara kalian
mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq ‘alaih)
Daripada
Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang
berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan
tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” (Hadis riwayat Imam
Abu Daud dan Termizi).
Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.
Hadis
Rasulullah yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat
dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang
sebaik hari).”
Ada
banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang
bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam.
Antaranya:
- Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.
- Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.
- Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
- Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.
- Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.
- Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
- Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah.
No comments:
Post a Comment