Thursday 27 February 2014

Menghina Hukum Allah SWT-bahagian 3

Tazkirah
27RabiulAkhir 1435@27/2/2014

...sambungan

Menghina Hukum Allah SWT

c) Melalui Akidah atau Kepercayaan atau Niat.

Murtad melalui akidah, kepercayaan atau niat akan berlaku apabila seseorang Islam mengingkari dalam hatinya mengenai kebenaran ajaran Islam seperti dia yakin ajaran Islam sama sahaja dengan ajaran agama lain, atau yakin bahawa agama lain lebih baik dari agama Islam, dia yakin hukum hudud (jinayah Islam) tidak layak dilaksanakan sekarang dalam masyarakat moden.

Begitu juga apabila seseorang Islam yakin Allah tidak berkuasa, Allah tidak mencipta alam ini, Allah lemah, mempunyai sifat sama seperti makhluk dan lain-lain lagi. Demikian juga jika seseorang itu percaya bahawa Nabi Muhammad SAW bukan nabi akhir zaman, syariat dan ajaran Islam yang dibawa bukan untuk seluruh manusia, atau dia percaya hukum Islam yang dibawa oleh baginda adalah hukum-hukum lapok, tidak sesuai dengan keadaan zaman. Dia menghina apa-apa ajaran yang dibawanya, dia beriktiqad tidak ada dosa dan pahala, tidak ada syurga dan neraka, manusia tidak dibangkit semula sesudah mati, beriktiqad agama orang kafir lebih baik dari agama Islam, atau berbalik-balik hati antara mahu manjadi kafir pada masa akan datang dan lain-lain lagi keyakinan dan iktiqad yang salah.

Hukum Orang Murtad.

Orang murtad dikenakan ke atasnya beberapa hukum iaitu, pertama; disuruh bertaubat, kedua; dihukum bunuh kalau tidak mahu bertaubat, ketiga; dirampas hartanya (ditarik hak milik harta), keempat; terputus hubungan suami isteri dan tidak boleh pusaka mempusakai antara suami isteri, ayah ibu dan anak-anak, kelima; penyembelihannya tidak halal dan pahala ibadatnya terbatal. Dibawah ini diterangkan hukum-hukum secara detail.

a) Disuruh Bertaubat.

Apabila seseorang telah sabit murtad, dia perlu diberi nasihat dan kaunseling, juga disuruh bertaubat beberapa kali. Jika tidak mahu bertaubat setelah disuruh berulang kali dia mesti dibunuh. Tempoh masa untuk bertaubat tersebut – mengikut Jumhur ulama' – selama tiga hari tiga malam, tetapi mengikut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa dia diberi peluang suruh bertaubat selama kira-kira dua puluh malam.

Apabila seseorang murtad itu sedar dan mahu bertaubat serta mahu memeluk Islam semula, taubatnya diterima, dengan melalui beberapa perkara:

Pertama, dia perlu mengucap dua kalimah syahadah semula.

Kedua, dia perlu membuat pengakuan atau ikrar di atas apa yang dia ingkar yang menyebabkan dia menjadi kafir (murtad), dan melepaskan diri daripada segala ajaran yang menyalahi agama Islam. Umpamanya jika dia murtad dengan sebab percaya adanya dua Tuhan atau mengingkari risalah Nabi Muhammad SAW, maka sewaktu bertaubat dengan mengucapkan dua kalimah syahadah, dia perlu membuat pengakuan yang Tuhan hanya satu bukan dua, dan mengaku memang betul dan benar bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi akhir zaman.

b) Dijatuhkan Hukum Bunuh.

Apabila orang yang murtad tidak mahu bertaubat setelah dinasihatkan dan dikaunseling dalam masa tempoh yang ditentukan, maka tidak ada jalan lain dia mesti dijatuhkan hukum bunuh dengan segera dengan dipancung lehernya.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a., baginda bersabda, ertinya:

"Sesiapa yang menukar agamanya maka hendaklah kamu membunuhnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis lain diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asyari r.a. yang bermaksud:

Bahawa baginda SAW berkata kepadanya, "Pergilah kamu ke negeri Yaman", kemudian baginda menghantar Muaz bin Jabal selepas itu. Apabila Muaz sampai ke tempat Abu Musa, Abu Musa menjemput Muaz dengan memberi sebiji bantal alas duduk serta berkata, "Sila duduk", sedangkan di majlis itu ada seorang yang badannya diikat, Muaz bertanya, "Apa hal orang ini?". Abu Musa menjawab, "Orang ini asalnya Yahudi, dia telah masuk Islam kemudian dia balik menganut agama Yahudi semula". Muaz berkata, "Aku tidak akan duduk sehingga dia dibunuh (terlebih dahulu), itulah hukum Allah dan RasulNya". (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment