Wednesday 26 February 2014

Menghina Hukum Allah SWT-bahagian 2

Tazkirah
26RabiulAkhir 1435@26/2/2014

...sambungan

Menghina Hukum Allah SWT

Begitu juga seseorang yang zalim, apabila dia mendengar orang yang dizaliminya berkata,

"Ini, (kezaliman yang dilakukan ke atasnya) adalah ketetapan Allah dan takdir Tuhan",

maka orang zalim tadi sebaik sahaja mendengar kata-kata di atas dia terus berkata dengan sombong,

"Aku lakukan itu bukan dengan takdir Allah SWT tetapi dengan kuasa yang ada padaku",

maka kata-kata orang zalim sedemikian itu boleh menjadi murtad.

Begitu juga kalau seseorang Islam menghalalkan hukum yang haram oleh Allah dan RasulNya atau sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal yang telah disepakati oleh para ulama' tetang halal atau haramnya perkara itu seperti dia menghalalkan zina, menghalalkan liwat, menghalalkan minum arak, atau mengharamkan perkahwinan, mengharamkan jual beli dan seterusnya. Maka sikap sedemikian boleh menjadi murtad.

Dalam buku Mustika Hadis, ada menyebut beberapa contoh kata-kata yang boleh membatalkan iman seseorang atau yang boleh menjadi murtad iaitu: Kata-kata (menghina atau merendahkan) mana-mana hukum Islam seperti:

• Hukum apa ini ?

• Hukum ini sudah lapuk.

• Zaman sekarang tidak sepatutnya diharamkan riba' kerana menghalang kemajuan.

• Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus (tutup aurat dengan memakai telekong).

• Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?

• Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.

• Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.

• Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam, sampai kiamat kita tidak maju.

• Seseorang berkata,"Perbuatan yang demikian tidak beradab", apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW selepas makan baginda menjilat sisa makanan dijarinya (sebelum dibasuh tangan).

• Seseorang berkata,"Aku tidak mahu memotong kuku sekalipun sunnah", apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunnah.

• Membaca ayat-ayat suci al-Quran, hadith nabi dan nama-nama Allah dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

Ungkapan yang disebut di atas adalah beberapa contoh kata-kata yang boleh menjadi murtad.

b) Melalui Perbuatan atau Tingkah Laku.

Apabila seseorang Islam melakukan apa-apa perbuatan atau apa-apa tingkah laku yang boleh membatalkan imannya maka orang itu boleh menjadi murtad seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan, manusia, kepada malaikat atau kepada mana-mana makhluk lain atau melakukan ibadat terhadap selain daripada Allah SWT Seperti menyembah batu, pokok kayu dan lain-lain.

Begitu juga mana-mana perbuatan yang menghina, merendah dan mempersendakan Islam seperti mencampakkan al-Quran ke tempat-tempat kotor secara sengaja atau kitab-kitab hadith dan tafsir atau memijak-mijaknya dengan niat menghina. Dalam buku Mustika Hadith ada menyebut perbuatan yang boleh menjadi murtad seperti meletakkan ayat-ayat suci al-Quran, hadith-hadith nabi, nama-nama Allah, rasul-rasulNya, malaikat dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendahkannya.

Begitu juga seseorang yang meninggalkan sembahyang Fardhu atau puasa Ramadhan dalam keadaan mengingkari wajibnya atau mengatakan ia tidak wajib, maka dia boleh menjadi murtad kerana dia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam. Tetapi kalau dia meninggalkan kerana malas, sedangkan dia yakin sembahyang atau puasa itu wajib, maka ia tidak menjadi murtad.

Apa yang disebut adalah sebahagian dari contoh-contoh yang boleh memurtadkan seseorang Islam melalui perbuatan dan tingkah laku.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment