Tuesday, 17 June 2014

Kem Tahsin Solat 3- Solat berjemaah


Peserta termuda
Pada tanggal 15 Jun 2014, bersamaan 17 Sya'ban 1435H, pihak Masjid As-Syarif Telok Datok telah menganjurkan Kem Tahsin. Program ini merupakan program yang ketiga dan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada anak kariah. Pada kali ini, penekanan mengenai pentingnya SOLAT BERJEMAAH dan telah disampaikan oleh Tuan Nazir Masjid Kampung Kelanang, Yang Berbahagia Ustaz Hasnurol Bin Hashim.Program pada pagi
Pendaftran para peserta


Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Imam 1 Masjid As-Syarif, Tuan Haji Sajuni bin Jumaron yang mewakili Tuan Nazir. Dalam ucapannya, beliau telah menekankan bahawa pentingnya solat berjemaah dan berharap agar anak kariah dapat memenuhkan lagi rumah Allah ini. Disamping itu juga beliau berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa.


Imam 1 Masjid As-Syarif Telok Datok sewaktu menyampaikan ucapan perasmian
Y.Bhg Ustaz Hasnurol Hashim,selaku penceramah
Secara amnya,program ini amat baik sekali terutama kepada golongan-golongan muda agar mengetahui betapa pentingnya solat berjemaah dan kelebihannya.Ini kerana Daripada Qabath bin Asyim al-Laithi RA, daripada Rasulullah SAW, sabdanya: “Solat dua orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah berbanding solat yang dilakukan oleh empat orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian. Solat empat orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat yang dilakukan oleh lapan orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian. Solat lapan orang lelaki yang diimami oleh salah seorang daripada mereka lebih afdhal di sisi Allah SWT berbanding solat yang dilakukan oleh seratus orang lelaki tetapi dilakukan secara bersendirian”.
Kesimpulannya berdasarkan kepada hadis di atas, marilah kita semua datang ke masjid untuk solat berjemaah kerana semakin ramai ahli jemaah maka semakin banyak pahala dan ganjaran yang kita dapat. Janganlah kita mencipta berbagai alasan bertujuan untuk mengelakkan diri kita daripada datang ke masjid untuk solat berjemaah kerana yang ruginya adalah diri kita sendiri!!

Wallahua’lam.


Monday, 28 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam (3)

Tazkirah
28JamadilAkhir 1435@28/4/2014

...sambungan

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam

Islam memang syamil (sempurna), kamil (lengkap) dan mutakamil (melengkapkan).

Tetapi melaungkan slogan saja tidak akan pernah mencukupi. Begitulah juga, sebagaimana kita melaungkan slogan mencintai Nabi s.a.w., itu saja tidak akan pernah mencukupi.

Selain berkata-kata, bergeraklah membumikan usaha.

Usahalah untuk memahami Islam ini dengan baik dan realisasikanlah ia dalam akhlak kita, peribadi kita, kata-kata kita, disiplin dan kesungguhan kita.

Ramai orang yang inginkan kemenangan, tetapi disangkanya dengan hanya berkata-kata dan melaungkan slogan sudah akan membawanya dekat kepada kemenangan.

Allah akan membantu ummat ini namun bukanlah secara ajaib, tetapi melalui usaha.

Berusahalah untuk memahami Islam dengan baik. Berusahalah untuk mendalami Al-Quran dan hadis kerana itulah sumber utama yang menjadi panduan kehidupan seorang muslim. Berusahalah untuk berinteraksi dengan cara yang baik dengan semua pihak tidak kiralah sama ada yang berbeza agama, berbeza cara fikir dan latar belakang politik.

Berusahalah memperbaiki akhlak dan peribadi kita kerana itu adalah cermin yang paling ketara terhadap Islam. Nabi s.a.w. datang membawa contoh peribadi dengan akhlak yang unggul, bagaimana mungkin kita yang mengatakan kita cinta kepada baginda berakhlak dengan akhlak yang buruk pula?

Berusahalah juga untuk memperbaiki kesungguhan dan keseriusan kita dalam menjaga ibadah, disiplin menuntut ilmu, membaca, berfikir dan berdakwah.

 
Mari perbaiki kehidupan kita, kehidupan masyarakat dan ummat kita. Maulid Nabi bukan sekadar untuk disambut dengan melafazkan kecintaan di mulut, tetapi ia harus dibuktikan dalam usaha kita.

Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita leka berada di atas katil-katil keselesaaan dan kesenangan sehingga melalaikan kita dari tugas-tugas untuk beribadah, memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri kita sebagai seorang muslim?

Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita biarkan diri kita dihanyutkan oleh arus nafsu sehingga membuatkan kita seringkali tertipu dengan dunia dan selalu berharap pada kepentingan-kepentingan duniawi serta melupakan masa depan kita di akhirat?

Cinta Nabi s.a.w. harus disertai dengan kesanggupan, kesungguhan dan keseriusan kita untuk memahami Islam dan menyampaikannya pula kepada masyarakat.

Inilah cinta yang sebenar. Ini jugalah cinta yang telah menautkan generasi awal. Mereka tidak hanya sekadar menerima Islam untuk diri mereka sahaja menjadi soleh, tetapi mereka berusaha pula dengan penuh kesungguhan untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Ummat yang memahami Islam ini semakin lama semakin membesar dan bertaut pula di atas keimanan kepada Allah. Akhirnya, setelah syarat-syarat kemenangan itu mereka penuhi, maka tidak ada apa lagi yang tinggal ketika itu melainkan, kemenangan itu milik Islam.

Wassalam


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Sunday, 27 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam (2)

Tazkirah
27JamadilAkhir 1435@27/4/2014

...sambungan

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam


Kekaguman ini, kecintaan ini hanya akan menjadi bermakna bila kita menuruti sunnah perjuangan baginda. Apakah sunnah perjuangan baginda yang terbesar?

Mengambil dan membumikan Islam secara keseluruhan dalam hidup. Itulah kemenangan yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w. dalam diri para sahabat dan menjadi contoh kepada masyarakat dunia ketika itu.

Itulah sunnah terbesar yang perlu kita ikuti. Rasul s.a.w. tidak datang hanya semata-mata untuk mengajar kita cara berpakaian atau jenis pakaian mana paling baik, tidak hanya semata-mata diutuskan untuk mendidik kita cara berpolitik, tidak juga semata-mata diutuskan untuk mendidik kita supaya hanya menjadi abid atau rahib 24 jam dalam kehidupan kita.

Tetapi Rasul s.a.w. datang untuk mendidik manusia supaya mengambil Islam dalam keseluruhan hidupnya. Namun, sayangnya kita yang menginginkan kemenangan Islam ini, mengambil Islam di satu sudut dan meninggalkannya pula di satu sudut yang lain.

Islam itu tidak hanya ada dalam cara berpakaian kita, tetapi ia juga wujud dalam akhlak dan peribadi kita. Islam itu tidak hanya ada dalam ibadah dan zikir kita, tetapi ia juga wujud dalam cara kita berpolitik dan menguruskan ekonomi negara. Islam itu tidak hanya ada dalam bentuk syiar-syiar yang tertentu seperti masjid, Al-Quran dan sebagainya itu, tetapi ia wujud juga dalam kesungguhan usaha dan disiplin menguruskan kehidupan.

Ada orang hari ini yang mengambil aspek-aspek tertentu sahaja daripada Islam. Baginya, itu sahajalah Islam. Itu sahajalah yang dididik Islam.

Ada orang yang memfokuskan pada aspek pembersihan jiwa dan ibadah, baginya itulah saja yang dididik oleh Islam. Ia tidak memberi perhatian dan tidak melibatkan diri dalam usaha-usaha pentadbiran, politik dan ekonomi. Baginya, Islam ini cukup dengan pembersihan jiwa dan kita pasti akan menemui kemenangan yang dijanjikan itu nanti.

Ada pula yang memfokuskan pada bidang politik sahaja. Baginya, itulah cara termudah untuk mendidik masyarakat dengan Islam. Setelah diambil alih kuasa, mudahlah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam. Itulh tafsiran kemenangan padanya.

Tetapi adakah semudah itu?

Kalau semudah itu, maka Rasul s.a.w. tidak perlu bersusah-payah mengusahakan pendidikan untuk masyarakat dari bawah ketika berada di Makkah. Bukan baginda tidak ada peluang untuk menjadi pemimpin politik, bahkan baginda sudah ditawarkan pun oleh pembesar-pembesar Quraisy, tetapi baginda menolak. Bukan itu yang menjadi tujuan utama baginda.

Baginda juga tidak memfokuskan hanya pada duduk berzikir dan beribadah di dalam masjid semata-mata, bahkan baginda merealisasikan kesungguhan baginda dalam usaha berpolitik dan memelihara ekonomi masyarakat Islam waktu itu. Itu adalah contoh yang ada pada peribadi Rasul s.a.w., bahawa Islam itu syumul (menyeluruh) meliputi semua aspek kehidupan.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Saturday, 26 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam

Tazkirah
26JamadilAkhir 1435@26/4/2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam


Kita tidak menafikan bahawa ummat Islam ini, semuanya mencintai Nabi s.a.w. Bila diungkapkan saja nama Nabi s.a.w., terus timbul rasa kekaguman dalam diri pada usaha dan jasa Nabi s.a.w. terhadap ummat ini. Ada yang bahkan tidak tertahan air matanya, terus mengalir bila diungkapkan sirah-sirah perjuangan baginda s.a.w.

Ya, bagaimana mungkin kita tidak kagum pada susuk tubuh yang pernah dilempar perut unta yang busuk ke belakang badannya kala ia sedang solat di depan Kaabah, susuk tubuh yang tercedera di medan Uhud kala bertempur mempertahankan maruah Islam, susuk tubuh yang sanggup berlapar dan hidup sederhana demi menyampaikan Islam ini kepada ummatnya. Bagaimana mungkin kita tidak kagum?

Perjuangannya sangat hebat. Sebab itulah Allah berfirman dalam Al-Quran :

"Sesungguhnya pada diri Rasul itu ada contoh yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (rahmat) Allah dan hari akhirat."[Al-Ahzab : 21]

Tetapi, kekaguman dan pujian saja tidak mencukupi. Kekaguman dan pujian ini jika tidak dituruti dengan usaha untuk mengikuti apa yang telah Nabi s.a.w. tinggalkan untuk kita, maka ia hanya tinggal bermakna untuk diri kita, tetapi tidak bermakna untuk ummat.

Ramai orang boleh berceramah dan bersyair memuji Nabi s.a.w., tetapi berapa ramai pulakah yang bersedia menuruti sunnah perjuangan baginda di atas jalan kesusahan dan kepayahan itu?

Ramai orang yang berzikir, kuat beribadah kerana ingin mengikuti Rasul s.a.w., tetapi berapa ramai pula yang menggunakan bekalan ibadahnya itu untuk turun ke medan perjuangan menyampaikan Islam, menghadapi kesulitan sebagaimana yang telah dihadapi oleh Rasul s.a.w.?

Ramai pula orang yang solat, tetapi kadang-kadang di luar solatnya dia menyokong sistem kezaliman dan kemungkaran.

Ramai juga orang yang berzikir dan berselawat di dalam masjid, tetapi di luarnya dia memaki hamun, mencemuh dan mengeji manusia.

Kita kagum kepada Nabi s.a.w., berarak saban tahun memuji dan berselawat ke atas Nabi, akhirnya, ke manakah kita akan membawa kekaguman kita ini?

Adakah kekaguman ini hanya bermula di hari sambutan dan akan berakhir di hari yang sama juga? Adakah kekaguman ini hanyalah hiasan di mulut kita saja dan usai berkata-kata tentang Nabi, kita bisa berkata apa saja termasuk mencaci maki dan berdusta?

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK