Saturday 26 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam

Tazkirah
26JamadilAkhir 1435@26/4/2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam


Kita tidak menafikan bahawa ummat Islam ini, semuanya mencintai Nabi s.a.w. Bila diungkapkan saja nama Nabi s.a.w., terus timbul rasa kekaguman dalam diri pada usaha dan jasa Nabi s.a.w. terhadap ummat ini. Ada yang bahkan tidak tertahan air matanya, terus mengalir bila diungkapkan sirah-sirah perjuangan baginda s.a.w.

Ya, bagaimana mungkin kita tidak kagum pada susuk tubuh yang pernah dilempar perut unta yang busuk ke belakang badannya kala ia sedang solat di depan Kaabah, susuk tubuh yang tercedera di medan Uhud kala bertempur mempertahankan maruah Islam, susuk tubuh yang sanggup berlapar dan hidup sederhana demi menyampaikan Islam ini kepada ummatnya. Bagaimana mungkin kita tidak kagum?

Perjuangannya sangat hebat. Sebab itulah Allah berfirman dalam Al-Quran :

"Sesungguhnya pada diri Rasul itu ada contoh yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan (rahmat) Allah dan hari akhirat."[Al-Ahzab : 21]

Tetapi, kekaguman dan pujian saja tidak mencukupi. Kekaguman dan pujian ini jika tidak dituruti dengan usaha untuk mengikuti apa yang telah Nabi s.a.w. tinggalkan untuk kita, maka ia hanya tinggal bermakna untuk diri kita, tetapi tidak bermakna untuk ummat.

Ramai orang boleh berceramah dan bersyair memuji Nabi s.a.w., tetapi berapa ramai pulakah yang bersedia menuruti sunnah perjuangan baginda di atas jalan kesusahan dan kepayahan itu?

Ramai orang yang berzikir, kuat beribadah kerana ingin mengikuti Rasul s.a.w., tetapi berapa ramai pula yang menggunakan bekalan ibadahnya itu untuk turun ke medan perjuangan menyampaikan Islam, menghadapi kesulitan sebagaimana yang telah dihadapi oleh Rasul s.a.w.?

Ramai pula orang yang solat, tetapi kadang-kadang di luar solatnya dia menyokong sistem kezaliman dan kemungkaran.

Ramai juga orang yang berzikir dan berselawat di dalam masjid, tetapi di luarnya dia memaki hamun, mencemuh dan mengeji manusia.

Kita kagum kepada Nabi s.a.w., berarak saban tahun memuji dan berselawat ke atas Nabi, akhirnya, ke manakah kita akan membawa kekaguman kita ini?

Adakah kekaguman ini hanya bermula di hari sambutan dan akan berakhir di hari yang sama juga? Adakah kekaguman ini hanyalah hiasan di mulut kita saja dan usai berkata-kata tentang Nabi, kita bisa berkata apa saja termasuk mencaci maki dan berdusta?

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment