Monday 28 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam (3)

Tazkirah
28JamadilAkhir 1435@28/4/2014

...sambungan

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam

Islam memang syamil (sempurna), kamil (lengkap) dan mutakamil (melengkapkan).

Tetapi melaungkan slogan saja tidak akan pernah mencukupi. Begitulah juga, sebagaimana kita melaungkan slogan mencintai Nabi s.a.w., itu saja tidak akan pernah mencukupi.

Selain berkata-kata, bergeraklah membumikan usaha.

Usahalah untuk memahami Islam ini dengan baik dan realisasikanlah ia dalam akhlak kita, peribadi kita, kata-kata kita, disiplin dan kesungguhan kita.

Ramai orang yang inginkan kemenangan, tetapi disangkanya dengan hanya berkata-kata dan melaungkan slogan sudah akan membawanya dekat kepada kemenangan.

Allah akan membantu ummat ini namun bukanlah secara ajaib, tetapi melalui usaha.

Berusahalah untuk memahami Islam dengan baik. Berusahalah untuk mendalami Al-Quran dan hadis kerana itulah sumber utama yang menjadi panduan kehidupan seorang muslim. Berusahalah untuk berinteraksi dengan cara yang baik dengan semua pihak tidak kiralah sama ada yang berbeza agama, berbeza cara fikir dan latar belakang politik.

Berusahalah memperbaiki akhlak dan peribadi kita kerana itu adalah cermin yang paling ketara terhadap Islam. Nabi s.a.w. datang membawa contoh peribadi dengan akhlak yang unggul, bagaimana mungkin kita yang mengatakan kita cinta kepada baginda berakhlak dengan akhlak yang buruk pula?

Berusahalah juga untuk memperbaiki kesungguhan dan keseriusan kita dalam menjaga ibadah, disiplin menuntut ilmu, membaca, berfikir dan berdakwah.

 
Mari perbaiki kehidupan kita, kehidupan masyarakat dan ummat kita. Maulid Nabi bukan sekadar untuk disambut dengan melafazkan kecintaan di mulut, tetapi ia harus dibuktikan dalam usaha kita.

Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita leka berada di atas katil-katil keselesaaan dan kesenangan sehingga melalaikan kita dari tugas-tugas untuk beribadah, memperbaiki dan meningkatkan prestasi diri kita sebagai seorang muslim?

Bagaimana mungkin kita mengatakan kita cinta kepada Nabi s.a.w., tetapi kita biarkan diri kita dihanyutkan oleh arus nafsu sehingga membuatkan kita seringkali tertipu dengan dunia dan selalu berharap pada kepentingan-kepentingan duniawi serta melupakan masa depan kita di akhirat?

Cinta Nabi s.a.w. harus disertai dengan kesanggupan, kesungguhan dan keseriusan kita untuk memahami Islam dan menyampaikannya pula kepada masyarakat.

Inilah cinta yang sebenar. Ini jugalah cinta yang telah menautkan generasi awal. Mereka tidak hanya sekadar menerima Islam untuk diri mereka sahaja menjadi soleh, tetapi mereka berusaha pula dengan penuh kesungguhan untuk menyampaikannya kepada orang lain.

Ummat yang memahami Islam ini semakin lama semakin membesar dan bertaut pula di atas keimanan kepada Allah. Akhirnya, setelah syarat-syarat kemenangan itu mereka penuhi, maka tidak ada apa lagi yang tinggal ketika itu melainkan, kemenangan itu milik Islam.

Wassalam


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment