Sunday 27 April 2014

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam (2)

Tazkirah
27JamadilAkhir 1435@27/4/2014

...sambungan

Cintakan Rasul dan Usaha Memenangkan Islam


Kekaguman ini, kecintaan ini hanya akan menjadi bermakna bila kita menuruti sunnah perjuangan baginda. Apakah sunnah perjuangan baginda yang terbesar?

Mengambil dan membumikan Islam secara keseluruhan dalam hidup. Itulah kemenangan yang telah dibawa oleh Rasul s.a.w. dalam diri para sahabat dan menjadi contoh kepada masyarakat dunia ketika itu.

Itulah sunnah terbesar yang perlu kita ikuti. Rasul s.a.w. tidak datang hanya semata-mata untuk mengajar kita cara berpakaian atau jenis pakaian mana paling baik, tidak hanya semata-mata diutuskan untuk mendidik kita cara berpolitik, tidak juga semata-mata diutuskan untuk mendidik kita supaya hanya menjadi abid atau rahib 24 jam dalam kehidupan kita.

Tetapi Rasul s.a.w. datang untuk mendidik manusia supaya mengambil Islam dalam keseluruhan hidupnya. Namun, sayangnya kita yang menginginkan kemenangan Islam ini, mengambil Islam di satu sudut dan meninggalkannya pula di satu sudut yang lain.

Islam itu tidak hanya ada dalam cara berpakaian kita, tetapi ia juga wujud dalam akhlak dan peribadi kita. Islam itu tidak hanya ada dalam ibadah dan zikir kita, tetapi ia juga wujud dalam cara kita berpolitik dan menguruskan ekonomi negara. Islam itu tidak hanya ada dalam bentuk syiar-syiar yang tertentu seperti masjid, Al-Quran dan sebagainya itu, tetapi ia wujud juga dalam kesungguhan usaha dan disiplin menguruskan kehidupan.

Ada orang hari ini yang mengambil aspek-aspek tertentu sahaja daripada Islam. Baginya, itu sahajalah Islam. Itu sahajalah yang dididik Islam.

Ada orang yang memfokuskan pada aspek pembersihan jiwa dan ibadah, baginya itulah saja yang dididik oleh Islam. Ia tidak memberi perhatian dan tidak melibatkan diri dalam usaha-usaha pentadbiran, politik dan ekonomi. Baginya, Islam ini cukup dengan pembersihan jiwa dan kita pasti akan menemui kemenangan yang dijanjikan itu nanti.

Ada pula yang memfokuskan pada bidang politik sahaja. Baginya, itulah cara termudah untuk mendidik masyarakat dengan Islam. Setelah diambil alih kuasa, mudahlah untuk melaksanakan hukum-hukum Islam. Itulh tafsiran kemenangan padanya.

Tetapi adakah semudah itu?

Kalau semudah itu, maka Rasul s.a.w. tidak perlu bersusah-payah mengusahakan pendidikan untuk masyarakat dari bawah ketika berada di Makkah. Bukan baginda tidak ada peluang untuk menjadi pemimpin politik, bahkan baginda sudah ditawarkan pun oleh pembesar-pembesar Quraisy, tetapi baginda menolak. Bukan itu yang menjadi tujuan utama baginda.

Baginda juga tidak memfokuskan hanya pada duduk berzikir dan beribadah di dalam masjid semata-mata, bahkan baginda merealisasikan kesungguhan baginda dalam usaha berpolitik dan memelihara ekonomi masyarakat Islam waktu itu. Itu adalah contoh yang ada pada peribadi Rasul s.a.w., bahawa Islam itu syumul (menyeluruh) meliputi semua aspek kehidupan.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

No comments:

Post a Comment