Monday, 17 March 2014

Sambungan : Hilangkan Penyakit Wahan

Tazkirah
15JamadilAwal 1435@17/3/2014

...sambungan

Hilangkan Penyakit Wahan

Dunia adalah sebagai alat atau jambatan kepada akhirat. Mematikan hubungan dunia akan meruntuhkan jambatan ke akhirat. Segala perhiasan yang ada di dunia adalah berbentuk pinjaman. Ada yang Allah berikan percuma, manakala untuk mendapat nikmat yang lebih besar lagi di akhirat, manusia harus menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang sewajarnya. Mengenali batasan halal dan haram, membezakan baik dan buruk, menyeimbangkan keperluan diri dan tidak bersikap berlebih-lebihan membawa kepada erti Al Falah yakni kejayaan hakiki dalam tafsiran pengabdian kepada Allah SWT.

Asas keimanan yang kukuh, kefahaman yang syumul ke atas makna kepada tugas sebagai hamba dan manusia ini jelas difahami oleh para sahabat sehingga membawa kepada gelaran Fursanun Fillail, Ruhbanun Fin Nahar (menjadi panglima jihad di siang hari dan menjadi ahli ibadat di malam hari). Mereka menempa kejayaan berganda dengan kekuasaan Islam, sehingga berjaya menyebarkan Islam di muka bumi ini dengan penaklukan 2/3 dunia di bawah wilayah Islam, kejayaan dalam bidang sains, astronomi, al falak, mantik, ilmu geografi, fizik, kimia, biologi, matematik, falsafah, muzik, statistik, perubatan dan pelbagai lapangan ilmu sehingga kota-kota seperti Cordova di Andalusia, Baghdad di Iraq, Istanbul di Turki, menjadi sebutan dalam lembaran sejarah di bawah sistem khalifah Islam. Semangat jihad (kesungguhan) menjadi tulang belakang kepada perjuangan membawa nama Islam dalam setiap aspek dan nilai kehidupan.

Para ahli tasawuf yang faqih begitu menghayati kesederhanaan dalam berurusan dengan muamalat kehidupan. Mereka yang mengerti tidak akan memisahkan 2 dunia ini sebagai jalan mendapatkan cinta daripada Allah SWT. Allah SWT menghiasi manusia dengan fitrah supaya manusia memakainya dengan selayaknya dan bukan sebagai alasan melupakan perintahNya dan laranganNya. Cinta kepada manusia dengan cara yang salah tanpa berpaut kepada Allah SWT, maka tidak membawa makna kepada takrifan ibadah. Cinta yang diikat dengan akidah, asas kepercayaan yang kukuh, dalam menjaga ikhtilat, batasan-batasannya akan mendapat mardhatillah (redha Allah SWT) yang didamba serta beroleh maghfirah (keampunanNya).

Sehubungan dengan itu, marilah sama-sama kita meneladani sirah perjalanan hidup Rasulullah SAW, para sahabat baginda dan tabi' tabien yang mendapat petunjuk. Kita harus meyakini bahawa penyempurnaan manusia pada penciptaannya adalah menjadi hamba yang bertakwa kepadaNya, baik kalangan lelaki mahupun perempuan.

Wassalam


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Sunday, 16 March 2014

Hilangkan Penyakit Wahan

Tazkirah
14JamadilAwal 1435@16/3/2014

Hilangkan Penyakit Wahan

Ramai orang yang menyangka atau berfikiran negatif bahawa dengan berfikir soal kematian ia akan melemahkan badan kita daripada bekerja dan hanya mampu menumpu urusan tikar sejadah semata-mata. Ramai yang berkata bahawa mengingati mati akan merencatkan motivasi kepada sikap untuk mencapai kejayaan. Malah ada juga yang berpendapat bahawa berfikir tentang kematian, menjadi sebab mengapa orang Islam lemah dan tidak berjaya.

Inilah suatu kefahaman yang salah dan tidak wajar menjadi satu i'ktikad atau pegangan hidup kita. Asas kepercayaan yang betul akan membawa kepada hala tuju kehidupan kita. Sedangkan matlamat kehidupan yang ditekankan dalam Islam adalah untuk mencapai keredhaan Allah SWT. Apakah salah sekiranya kejayaan, nikmat, serta perolehan di dunia ini sebagai suatu perkara yang dibenci Islam? Kita telah menghalang pemikiran kita dengan menerima serta mempercayai bahawa sesuatu perkara perlu dibiarkan sahaja kerana dalam urusan Allah SWT semata-mata dan membiarkannya yakni redha tanpa sebarang usaha, tetapi dalam masa yang sama masih juga mengharapkan agar mendapat kejayaan. Sifat tawakkal yang disalah ertikan sebagai mengharapkan sesuatu keajaiban berpihak kepada diri tanpa usaha merupakan suatu penyakit yang merbahaya.

Berbalik kepada persoalan kematian, Nabi Muhammad SAW pernah menyifatkan bahawa manusia yang paling cerdik adalah mereka yang selalu mengingati kepada kematian. Kematian adalah suatu pengakhiran kepada kehidupan dunia, untuk suatu peralihan ke destinasi yang baru iaitu alam barzakh dan seterusnya alam akhirat. Destinasi-destinasi alam yang berbeza ini membawa makna bahawa erti kehidupan tidak akan pernah berakhir hanya setelah keluarnya roh daripada badan ketika di dunia, tetapi pengembaraan yang akan disertai oleh kita nanti merupakan suatu pengembaraan yang panjang.

Pengembaraan yang panjang ini memerlukan bekalan yang mencukupi bagi setiap destinasi. Bekalan hanya dimiliki di suatu alam iaitu dunia. Sebagaimana Nabi Muhammad SAW pernah membuat analogi yang menarik terhadap pengembaraan manusia sebagai hamba di dunia ini sebagai suatu pelayaran kapal yang berangkat ke sebuah destinasi lalu singgah di sebuah pulau indah, di sana manusia meredahi pulau mencari bekalan dalam keasyikan nikmat, ada yang mendapat bekalan sebaiknya, tetapi ada yang terpedaya dengan aneka nikmat, sehingga kapal belayar mengambil mereka dalam keadaan mereka tidak membawa bekalan sebanyaknya dan ada yang tiada.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Thursday, 13 March 2014

Bagaimana Ibadah Boleh Melahirkan Kemajuan-(2)

Tazkirah
11JamadilAwal 1435@13/3/2014

...sambungan

Bagaimana Ibadah Boleh Melahirkan Kemajuan

Sementara itu satu hari Rasulullah SAW bercerita di depan sahabat, tidak lama lagi akan datang seseorang di majlis ini, dia ahli syurga. Kalau Rasulullah SAW berkata, dia itu ahli syurga, maka itu pasti ahli syurga. Jadi sahabat menunggu siapa yang akan datang. Tidak lama kemudian datang seseorang. Sahabat banyak yang tidak kenal. Setelah kuliah, sahabat ada yang ingin mengambil perhatian, apa amalannya sampai Rasulullah sebut dia ahli syurga. Sahabat itu mengikuti sampai ke rumahnya dan meminta izin untuk bermalam. Sahabat ingin melihat apa amalannya sehingga Rasulullah sebut ahli syurga. Jadi setelah diikuti sepanjang malam, tidak ada yang istimewa, shalat sunat tidak dibuat, tahajud pun tidak dibuat. Setelah subuh sahabat bertanya, waktu kuliah semalam Rasulullah berkata, sebelum saudara datang, sebentar lagi akan datang seorang ahli syurga. Saya ingin tanya apa amalan saudara, sampai dapat dikatidakan ahli syurga. Jawab orang itu, saya bukan saja tidak ada hasad dengki (iri hati) dengan orang, niat untuk hasad pun tidak ada. Jadi ibadah yang sedikit berbuah.

Sedangkan ibadah yang ketiga adalah bentuk ibadah yang lebih luas lagi. Setiap kerja akan menjadi ibadah apabila menempuh lima syarat. Misalnya di bidang ekonomi, sains teknologi, pendidikan, pemerintahan, dan lain lain. Jelaslah bagi kita bahwa ibadah ini akan melahirkan pembangunan lahiriah. Inilah yang dikatakan ada keseimbangan di antara pembangunan rohaniah dan fisik.

Bagaimana yang disebut seimbang? Bila kita melaksanakan ibadah yang pertama dan kedua artinya kita melahirkan akhlak yang mulia, kemudian melaksanakan ibadah yang ketiga dengan menempuh 5 syarat, maka melahirkan pembangunan fizikal. Kalau umat Islam benar-benar mengikuti kaedah itu maka tentulah Islam akan berjaya memakmurkan dunia. Tetapi selagi kita masih mengikuti sistem orang lain, bukan kejayaan yang dicapai bahkan berkrisis sesama sendiri.
Setiap usaha ikhtiar kita akan jadi ibadah bila menempuh 5 syarat, banyak perkara yang kita tidak faham selama ini sudah dapat difahami. Apa yang kita fahami melalui kaedah 5 syarat ini.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Wednesday, 12 March 2014

Bagaimana Ibadah Boleh Melahirkan Kemajuan

Tazkirah
10JamadilAwal 1435@12/3/2014

Bagaimana Ibadah Boleh Melahirkan Kemajuan

Kita beribadah dengan tujuan menyembah Allah yang memang patut disembah. Jangan pula kita beribadah itu untuk menyembah nafsu kita dengan cara membina mazmumah.

Setelah memahami bahwa tujuan manusia adalah menyembah Allah, perlu kita pelajari bagaimana cara-cara manusia menyembah Allah. Kemajuan lahir dan batin manusia tidak terpisah. Dengan manusia menyembah Allah secara lengkap dan tepat, maka ajaran Islam akan terlihat cantik.

Cara menyembah Allah ada 3 bahagian, iaitu
1.) Ibadah yang asas : mempelajari, memahami, meyakini, rukun iman, serta mempelajari, memahami dan melaksanakan rukun islam.
2.) Ibadah fadhailul amal : Amalan-amalan yang utama seperti puasa Isnin & Khamis, solat tahajud, solat sunat rawatib, membaca ayat-ayat tasbih, tahmid, tahlil, membaca selawat, dan lain-lain
3.) Ibadah yang umum, yang lebih luas, seluas dunia, iaitu ibadah yang mubah(harus) jadi ibadah asalkan menempuh lima syarat ibadah

Lima syarat ibadah untuk ibadah umum adalah seperti berikut:
1. Niat mesti betul
2. Perkara yang kita buat dibenarkan syariat
3. Pelaksanaan sesuai dengan syariat
4. Natijah (hasil) digunakan sesuai syariat
5. Jangan tertinggal ibadah yang asas

Ibadah yang asas, serta ibadah yang fardhu, kalau kita dapat amalkan sungguh-sungguh lahir dan batin, dengan penuh khusyuk, dapat membuahkan akhlak yang mulia, budi pekerti yang baik, khusnul khulq. Akhlak yang mulia ini merupakan buah ibadah. Sebab itulah Allah menilai ibadah manusia bukan atas dasar banyak tetapi sejauh mana memberi hasil, dapat membuahkan akhlak. Seharusnya makin banyak beribadah, makin halus akhlaknya. Itu yang disebut amal taqwa, amal soleh. Tetapi kalau ibadah banyak tidak membuahkan akhlak mulia, masih lagi dihukum di neraka.

Pernah Rasulullah SAW berkumpul bersama dengan para sahabat, kemudian Rasulullah berkata, saya memiliki seorang tetangga wanita, dia berpuasa siang harinya dan di malam harinya shalat tahajjud, tetapi ia ahli neraka. Sahabat bertanya, bagaimana wanita itu ya Rasulullah, jawab baginda Rasulullah SAW, wanita itu selalu menyakiti tetangga dengan lidahnya. (Tidak ada kebaikan lagi baginya) dia adalah ahli neraka. Kenapa? Sebab ibadah tidak berbuah. Jadi orang yang menyakiti orang lain, ibadahnya tidak melahirkan akhlak.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Tuesday, 11 March 2014

Mudahnya Menghabiskan Pahala

Tazkirah
9 JamadilAwal 1435@11/3/2014

Mudahnya Menghabiskan Pahala

Mengumpul duit bukannya senang. Menghabiskannya sekelip mata sahaja diperlukan. Begitu juga pahala. Bertimbun-timbun pahala boleh lebur dengan satu tindakan dosa. Bagaimanapun berbanding duit, kita amat jarang terasa sedang menghabiskan pahala.

Pahala boleh lebur dengan mengutuk orang. Pada hari ini tidak pelik seorang yang menjaga solat lima waktu, puasa Ramadhan dan makan minumnya semua halal tetapi tidak menjaga lidahnya. Senang-senang dia mengutuk orang. Setiap kali tiba Maulidurasul kitalah yang paling gembira. Dalam masa yang sama ajaran nabi tidak pernah diambil cakna:
"Mengutuk seorang Mukmin seperti membunuhnya"..(Riwayat Ahmad)

"Bukanlah orang beriman seorang yang suka menuduh, mengutuk, pelaku keji dan bermulut kotor"..(Riwayat Ahmad).

Suatu hari selendang seorang lelaki diterbangkan oleh angin. Lalu dia mengutuk angin. Lantas Rasulullah SAW mendidiknya.." jangan mengutuk angin, kerana angin menurut perintah sahaja. Sesiapa yang mengutuk sesuatu sedangkan kutukan itu tidak sepatutnya diterimanya, maka kutukan itu akan mengena kembali si pengutuk"...(Riwayat Abu Dawud).

Sedangkan angin pun haram dikutuk, inikan pula manusia, semulia-mulia makhluk. Harus diingat, pada hari ini perbuatan mengutuk berevolusi. Kalau dulu mungkin terhad kepada ucapan lisan. Kini lebih rancak dalam bentuk gambar, video dan sebagainya. Boleh jadi pagi-pagi berkongsi hadith...seminit kemudian menaip komen-komen yang mengutuk mereka yang dibenci.

Janganlah disebabkan satu keburukan, kita lupa semua kebaikan seseorang. Boleh jadi kebaikannya yang kita tidak tahu sebenarnya lebih banyak berbanding keburukan yang kita tahu. Fikirkan tentang diri sendiri. Boleh jadi kebaikan kita yang kita tahu sebenarnya jauh lebih sedikit berbanding keburukan diri yang tidak kita sedari.

Mujurlah Allah SWT bukan seperti kita sifatNya. Dengan satu sahaja ketelanjuran, kita terus diazab. Jika begitu...ke syurga tiada harapan langsung. Semoga titipan ini memberi manfaat kepada saya yang hina ini...dan juga para sahabat sekelian.

Wassalam


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Friday, 7 March 2014

Khutbah Jumaat : 7 Mac 2014

“ Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang -batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya...

k Hut Bah Juma at Rumi 07032014 by MasjidAsSyarif

Ammar Makruf Nahi Mungkar-3

Tazkirah
5JamadilAwal 1435@7/3/2014

...sambungan

امر معروف نهي منكر

Sabda Rasulullah saw;
"Siapa yang menyaksikan sesuatu mungkar, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tiada berkuasa, maka dengan lisannya. Jika tiada berkuasa juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian adalah selemah-lemah iman".

Masyarakat yang baik ialah masyarakat maju, bertamadun, subur dengan suasana aman bahagia, terjalin ikatan mesra dan bersatu padu yang berasaskan akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Tentu sekali masyarakat ini akan sentiasa menerima cucuran rahmat serta perlindungan Allah.

Beginilah masyarakat yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, padahal masyarakatnya terdiri daripada pelbagai rupa bangsa, aliran kepercayaan dan darjat, namun mereka dapat hidup dalam suasana penuh kekeluargaan.

Mengapa masyarakat pada zaman Rasulullah SAW boleh hidup dalam keadaan perpaduan yang utuh dan kukuh serta aman makmur? Bila diteliti helaian sirah Baginda, antara rahsianya ialah kerana Rasulullah SAW serta sahabat dan seluruh anggota masyarakatnya menegakkan amar makruf nahi mungkar (menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat mungkar) di tengah-tengah masyarakat.

Masyarakat Islam masa kini seharusnya mencontohi apa yang dipraktikkan Rasulullah SAW pada masa silam dalam membangun masyarakat harmoni yang tinggi nilai akhlaknya serta perpaduan mengagumkan. Dengan ini syiar Islam mampu berada di puncak kegemilangannya dan syariat Islam dengan mudah pula dapat ditegakkan.

Tidak dapat dinafikan lagi, Islam amat menitikberatkan kedamaian dan perpaduan masyarakat serta membenci perbalahan atau perpecahan. Lantaran itu, Islam menghulurkan tanggungjawab kepada setiap anggota masyarakat supaya menghidupkan amar makruf nahi mungkar kerana manfaatnya kepada kehidupan umat Islam yang sejahtera.

Firman Allah yang bermaksud: "Perintahlah orang lain supaya berbuat baik dan laranglah ia daripada berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap cubaan yang menimpamu." (Surah Luqman, ayat 17)

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK