Friday, 7 March 2014

Khutbah Jumaat : 7 Mac 2014

“ Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang -batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya...

k Hut Bah Juma at Rumi 07032014 by MasjidAsSyarif

Ammar Makruf Nahi Mungkar-3

Tazkirah
5JamadilAwal 1435@7/3/2014

...sambungan

امر معروف نهي منكر

Sabda Rasulullah saw;
"Siapa yang menyaksikan sesuatu mungkar, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tiada berkuasa, maka dengan lisannya. Jika tiada berkuasa juga, maka dengan hatinya, dan yang demikian adalah selemah-lemah iman".

Masyarakat yang baik ialah masyarakat maju, bertamadun, subur dengan suasana aman bahagia, terjalin ikatan mesra dan bersatu padu yang berasaskan akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Tentu sekali masyarakat ini akan sentiasa menerima cucuran rahmat serta perlindungan Allah.

Beginilah masyarakat yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, padahal masyarakatnya terdiri daripada pelbagai rupa bangsa, aliran kepercayaan dan darjat, namun mereka dapat hidup dalam suasana penuh kekeluargaan.

Mengapa masyarakat pada zaman Rasulullah SAW boleh hidup dalam keadaan perpaduan yang utuh dan kukuh serta aman makmur? Bila diteliti helaian sirah Baginda, antara rahsianya ialah kerana Rasulullah SAW serta sahabat dan seluruh anggota masyarakatnya menegakkan amar makruf nahi mungkar (menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat mungkar) di tengah-tengah masyarakat.

Masyarakat Islam masa kini seharusnya mencontohi apa yang dipraktikkan Rasulullah SAW pada masa silam dalam membangun masyarakat harmoni yang tinggi nilai akhlaknya serta perpaduan mengagumkan. Dengan ini syiar Islam mampu berada di puncak kegemilangannya dan syariat Islam dengan mudah pula dapat ditegakkan.

Tidak dapat dinafikan lagi, Islam amat menitikberatkan kedamaian dan perpaduan masyarakat serta membenci perbalahan atau perpecahan. Lantaran itu, Islam menghulurkan tanggungjawab kepada setiap anggota masyarakat supaya menghidupkan amar makruf nahi mungkar kerana manfaatnya kepada kehidupan umat Islam yang sejahtera.

Firman Allah yang bermaksud: "Perintahlah orang lain supaya berbuat baik dan laranglah ia daripada berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap cubaan yang menimpamu." (Surah Luqman, ayat 17)

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Thursday, 6 March 2014

Aktiviti: Yaa-sin & Solat Pohon Hujan (6/3/2014)




SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Ammar Mahrif Nahi Mungkar-2

Tazkirah
4JamadilAkhir 1435@6/3/2014

...sambungan

امر معروف نهي منكر

Berdasarkan maksud ayat itu, Allah dengan nada tegas mengarahkan setiap orang Islam supaya menjalankan tugas dakwah dengan penuh keinsafan dan keimanan, walaupun nanti memang tidak dapat lari daripada merempuh segala macam halangan. Ini tentunya memerlukan semangat, pengorbanan dan kesabaran tinggi. Bila tugas dakwah dijalankan seperti sepatutnya, maka akan lahirlah satu umat yang terpuji di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah." (Surah al-Imran, ayat 110)

Dimaksudkan umat terbaik menurut Abul Khairi Al-Latifi dalam bukunya 'Keruntuhan Martabat Umat Islam' ialah, ".... individu-individu dalam umat ini memberi manfaat kepada individu lain". Maknanya masing-masing saling nasihat-menasihati dan menjalankan amar makruf nahi mungkar ikhlas semata-mata kerana Allah.

Dalam usaha menerapkan nilai murni dalam masyarakat, Islam memberi garis panduan cukup sistematik dan terbaik untuk diteladani. Jika berlaku perbuatan maksiat, maka hendaklah dicegah dan dihalang mengikut ukuran kemampuan masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa di antara kalian melihat perbuatan mungkar, maka cegahlah perbuatan itu dengan tangannya (kekuasaan), apabila ternyata ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisan (nasihat atau larangan) dan apabila masih juga tidak mampu, maka hatinya harus mengingkari perbuatan itu, tetapi terakhir ini adalah termasuk orang yang lemah imannya." (Hadis riwayat Muslim)

Dr Afif Abdullah Fattah Thabbarah dalam bukunya Dosa Dalam Pandangan Islam menyatakan: "Mendiamkan perbuatan mungkar bererti ikut berdosa, dan dosanya akan dipikul oleh semua anggota masyarakat, kerana berdiam diri bererti merestui perbuatan itu."

Di samping mencegah, agama Islam juga menunjukkan cara bagaimana sebaik-baiknya manusia menyeru manusia lain (masyarakat/kaumnya) ke jalan yang diredai Allah.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Wednesday, 5 March 2014

Ammar Makruf Nahi Mungkar.

Tazkirah
3JamadilAwal 1435@5/3/2014

امر معروف نهي منكر

Amar Ma'ruf (menyuruh berbuat baik) dan Nahi Mungkar(melarang dari berbuat jahat) merupakan sebahagian dari tanggngjawab atau kewajipan fardhu kifayah di kalangan mukmin. Ini merupakan perintah Allah sebagaimana di dalam Al-Quran dan Sunah NabiNya saw.Tanggungjawab ini tidak boleh diabaikan yang sewajarnya menjadi kewajipan setiap mukmin memainkan peranannya setakat kemampuannya yang dapat dilaksanakan.

Oleh itu amatlah wajar sekali setiap individu tersebut dapat memainkan peranannya sedapat ynag mungkin melaksanakan amanah menyeru kebaikan dan melarang melakukan keburukan ini mengikut kedudukan serta kemampuan masing-masing, agar apa yang dapat disumbangkan akan memberi manfaat dan kebaikan kepada mereka yang berkenaan. Kedudukan serta peranan yang dapat disumbang tidak disalahguna atau dipersia-siakan sesuai dengan kehendak perintah Allah swt atau sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Tugas amal ma'ruf nahi mungkar ini bukan sahaja perlu dilaksanakan olehgur-guru atau orang -orang dipertanggungjawabkan oleh pihak pemerintah sahaja malahan hendaklah sama-sama dilaksanakan oleh setiap angggota masaarakat Islam seluruhnya.Peranan ini dapat dimainkan diperingkat keluarga, kumpulan, masyarakat dan juga negara secara yang lebih menyeluruh.

Firman Allah Taala,

"Wajiblah ada di antara kamu suatu umat (golongan) yang menyeru manusia kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Mereka ituah orang-orang yang berjaya(bahagia)"
(Ali Imran :104)

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Tuesday, 4 March 2014

Kisah Ukasyah bin Mikhsan

Tazkirah
2JamadilAwal 1435@4/3/2014

...sambungan

Kisah Ukasyah bin Mikhsan

Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a menyahut dengan berkata:" Siapakah di pintu?"

Lalu Bilal berkata:"Saya Bilal, saya diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk mengambil tongkatnya."

Kemudian Fatimah berkata:" Wahai Bilal, untuk apa ayahku meminta tongkatnya?"

Bilal berkata:"Wahai Fatimah, Rasulullah S.A.W. telah menyediakan dirinya untuk di qisas." Fatimah bertanya lagi:"Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk mengqisas Rasulullah S.A.W.?"

Bilal tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.a., sebaik sahaja Fatimah r.a memberikan tongkat tersebut maka Bilal pun membawa nya kepada Rasulullah S.A.W.

Setelah Rasulullah S.A.W. menerima tongkat tersebut dari Bilal maka beliau pun menyerahkan kepada 'Ukasyah'. Melihat hal yang demikian maka Abu Bakar r.a. dan Umar r.a tampil ke hadapan sambil berkata:"Wahai 'Ukasyah, janganlah kamu qisas baginda Rasulullah S.A.W., tetapi kamu qisaslah kami berdua."

Apabila Rasulullah S.A.W. mendengar kata-kata Abu Bakar dan Umar maka dengan segera baginda berkata:"Wahai Abu Bakar dan Umar, duduk lah kamu sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempat untuk kamu berdua."

Kemudian Ali r.a. bangun lalu berkata:"Wahai 'Ukasyah! aku adalah orang yang sentiasa berada disamping Rasulullah S.A.W. oleh itu kamu pukul lah aku dan janganlah kamu mengqisas Rasulullah S.A.W."

Lalu Rasulullah S.A.W. berkata:" Wahai Ali, duduklah kamu, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hati mu."

Setelah itu Hasan dan Husin bangun dan berkata:"Wahai 'Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah S.A.W., kalau kamu mengqisas kami sama dengan kamu mengqisas Rasulullah S.A.W."

Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah S.A.W. pun berkata: "Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua."

Rasulullah S.A.W. berkata:" Wahai 'Ukasyah, pukul lah saya kalau kamu hendak memukul."

Kemudian 'Ukasyah berkata:" Ya Rasulullah S.A.W. anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju."

Maka Rasulullah S.A.W. pun membuka baju, sebaik sahaja
Rasulullah S.A.W. membuka baju maka menangislah semua yang hadir.

Sebaik sahaja 'Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah S.A.W. maka dia pun mencium beliau dan berkata: "Saya tebus anda dengan jiwa saya, ya Rasulullah S.A.W. Siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan begini adalah sebab saya hendak menyentuh badan anda yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. dengan badan saya dan Allah S.W.T menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu."

Kemudian Rasulullah S.A.W. berkata:"Dengarlah kamu sekelian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya."

Kemudian semua para jemaah bersalaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah berkata:" Wahai 'Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah S.A.W. di dalam syurga."

Wassalam


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK

Saturday, 1 March 2014

Menghina Hukum Allah SWT-bahagian 5

Tazkirah
29RabiulAkhir 1435@1/3/2014

...sambungan

Menghina Hukum Allah SWT

d) Terputusnya Hubungan Suami Isteri.

Orang murtad dianggap sebagai orang yang sudah mati, kerana dia akan dijatuhkan hukum bunuh apabila tidak mahu bertaubat. Sebab itu kalau sekiranya salah seorang suami atau isteri murtad maka pernikahan kedua-duanya terbatal walaupun begitu, kalau sekiranya yang murtad kembali bertaubat (masuk Islam semula) dalam masa 'idah isterinya belum habis (tamat) maka kedua-dua bekas pasangan suami isteri tersebut dikira kembali seperti asal, tidak perlu kepada akad nikah baru. Tetapi kalau dia tidak bertaubat dalam masa 'idah masih belum habis, nikah tersebut dianggap terbatal. Kalau dia bertaubat (kembali kepada Islam semula) selepas habis 'idah, dia perlu diakad nikah semula dengan maskahwin baru jika mahu meneruskan hubungan suami isteri yang sah.

Selain itu orang murtad, pernikahannya tidak sah samada dia mahu berkahwin sendiri dengan orang lain atau dia mahu menjadi wali nikah untuk perkahwinan orang lain.

e) Penyembelihannya Tidak Halal dan Segala Pahala Amalan Ibadat Terbatal.

Penyembelihan orang murtad tidak halal dan haram dimakan. Hukumnya sama dengan hukum penyembelihan orang kafir yang menyembah berhala. Kalau dia menganut agama ahli al-Kitab seperti menganut agama Nasrani (Kristian) sekali pun penyembelihannya tetap haram.

Selain itu pahala amalan soleh atau pahala ibadat yang dikerjakan - walau berapa banyak sekali pun - menjadi gugur dan terbatal, menjadi sia-sia, sebagaimana Allah berfirman, ertinya:

"Sesiapa yang kufur (ingkar syariat Islam) sesudah dia beriman maka sesungguhnya gugur dan terbatal segala (pahala) amalan baiknya dan dia di akhirat nanti tergolong dari golongan orang yang rugi." (Surah al-Maidah : ayat 5)

Ini akan berlaku kalau sekiranya dia murtad secara berterusan sehingga mati dalam kufur. Tetapi kalau sekiranya dia bertaubat dan kembali kepada Islam semula, maka dia dituntut supaya mengqada'kan amal-amal ibadat seperti sembahyang, puasa dan zakat yang ditinggalkan sepanjang tempoh murtad tersebut. Ada pun haji yang dikerjakan sebelum murtad tidak perlu diqada'kan.

Mayat Orang Murtad yang Dihukum Bunuh

Mayat orang murtad yang dihukum bunuh tidak boleh diurus seperti mayat-mayat orang Islam. Mayat tersebut tidak perlu dimandi kerana dia telah keluar daripada Islam, tetapi kalau dimandikan ia adalah harus. Juga tidak boleh disembahyangkan kerana sembahyang mayat ke atas orang kafir adalah haram. Sebagaimana Allah berfirman, ertinya:

"Jangan kamu sembahyang ke atas seorang pun yang mati dari orang-orang kafir itu selama-lamanya." (surah al-Taubah : ayat 84)

Demikian juga tidak harus dikebumi di tanah perkuburan orang Islam, bahkan harus dikebumikan di tanah perkuburan orang kafir atau di tempat khas yang berasingan.

InsyaAllah bersambung...


SETIAUSAHA MASJID AS-SYARIF TELOK DATOK